Disney+ Hotstar telah memperlihatkan treler kedua yang cukup mendebarkan untuk FX’s Alien: Earth, siri drama sains fiksyen baharu daripada penerbit pemenang Emmy, Noah Hawley. Siri ini telah mula bersiaran mulai semalam (13 Ogos 2025) dengan dua episod pertama terus boleh distrim di Disney+ Hotstar. Musim pertamanya mempunyai lapan episod, dengan satu episod baharu setiap Rabu berikutnya.
Kisah bermula apabila kapal penyelidikan angkasa lepas USCSS Maginot terhempas di Bumi. Wendy (lakonan Sydney Chandler) bersama sekumpulan askar taktikal pelbagai latar belakang menemui sesuatu yang bakal mendedahkan ancaman terbesar planet ini.
Berlatar tahun 2120, Bumi kini diperintah oleh lima korporat gergasi: Prodigy, Weyland-Yutani, Lynch, Dynamic dan Threshold. Dalam era korporat ini, cyborg (manusia dengan bahagian tubuh biologi dan buatan) dan sintetik (robot humanoid ber-AI) hidup bersama manusia. Namun keadaan berubah apabila pengasas muda Prodigy Corporation mencipta teknologi baharu: hibrid — robot humanoid yang dipadukan dengan kesedaran manusia. Prototip pertama, “Wendy”, menjadi permulaan perlumbaan untuk keabadian.
Segalanya bertukar kacau-bilau selepas kapal angkasa Weyland-Yutani berlanggar dengan Prodigy City, membawa Wendy dan para hibrid berdepan spesies asing misteri yang jauh lebih menakutkan daripada apa yang pernah dibayangkan.
Selain Chandler, siri Alien: Earth menampilkan barisan pelakon antarabangsa termasuk Timothy Olyphant (sebagai Kirsh), Alex Lawther (sebagai Hermit), Samuel Blenkin (sebagai Boy Kavalier), Babou Ceesay (sebagai Morrow), Adrian Edmondson (sebagai Atom Eins), David Rysdahl (sebagai Arthur Sylvia), Essie Davis (sebagai Dame Sylvia), Lily Newmark (sebagai Nibs), Erana James (sebagai Curly) dan Adarsh Gourav (sebagai Slightly).
Alien: Earth dihasilkan oleh FX Productions, dengan Noah Hawley sebagai pencipta dan penerbit eksekutif bersama nama besar seperti Ridley Scott, David W. Zucker, Joseph Iberti, Dana Gonzales dan Clayton Krueger.


Catat Ulasan