Selepas kejayaan tayangan di pawagam tempatan, filem aksi-thriller Malaysia, Blood Brothers: Bara Naga kini bersedia menemui penonton global apabila ia ditayangkan secara eksklusif di Netflix mulai 10 Ogos ini.
Filem Blood Brothers: Bara Naga menghidangkan kisah tentang pengkhianatan, pengorbanan dan persaudaraan yang tak mudah dipatahkan. Kisahnya berpusat pada Ariff (lakonan Syafiq Kyle), seorang pengawal peribadi elit yang terjerat dalam konflik maut selepas difitnah melakukan jenayah. Yang paling menyayat hati, sahabat baiknya sendiri — Ghaz (dilakonkan oleh Sharnaaz Ahmad) — berubah menjadi musuh paling sengit.
Filem ini diarahkan oleh dua nama besar dalam genre aksi Malaysia: Syafiq Yusof (Sheriff: Narko Integriti, Polis EVO 3) dan Abhilash Chandra (The Experts, Polis EVO 3). Filem Blood Brothers: Bara Naga turut dibintangi oleh Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su, dan Zamarul Hisham.
Memetik kata-kata dari Syafiq Yusof:
Saya amat teruja apabila Blood Brothers: Bara Naga ditayangkan di Netflix. Harapan saya agar filem ini dapat dinikmati oleh penonton di seluruh dunia — dan juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang terlepas menonton di pawagam untuk menikmatinya di rumah.
Manakala Abhilash Chandra pula menambah:
Dengan tenaga 200 kru tempatan, filem ini dibikin dengan penuh semangat dan kasih — selama dua tahun lamanya. Ia kini bergelar filem aksi paling berjaya Malaysia untuk tahun 2025. Sebagai pengarah dan penulis, saya dan Syafiq amat bangga dan berbesar hati untuk mempersembahkan Blood Brothers: Bara Naga kepada jutaan penonton Netflix di seluruh dunia.
Dan ini pula kata Sharnaaz Ahmad:
Satu penghormatan buat saya untuk terlibat dalam projek ini. Saya harap filem ini dapat menghiburkan dan memberi debaran kepada penonton global apabila ia mula ditayangkan nanti.
Filem Blood Brothers: Bara Naga kini tersenarai sebagai antara filem Malaysia dengan kutipan tertinggi tahun ini. Jangan lepaskan peluang untuk menontonnya di Netflix mulai 10 Ogos 2025!

Catat Ulasan