Merdeka 118, bangunan tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia, bakal membuat penampilan sulungnya di Hollywood menerusi filem terbaharu Marvel Studios, Thunderbolts pada 1 Mei 2025. Difilemkan pada Ogos 2024, filem ini menampilkan pelakon Florence Pugh sebagai Yelena Belova yang melakukan aksi terjun dari bangunan pencakar langit setinggi 678.9 meter itu dalam satu babak aksi mendebarkan yang memaparkan pemandangan menakjubkan berlatarkan langit Kuala Lumpur.
Tonton video di sebalik tabir penggambaran Thunderbolts di Merdeka 118 di bawah:
Aksi mencabar ini meletakkan Merdeka 118 — mercu tanda ikonik Malaysia — di pentas dunia, sekali gus membangkitkan rasa bangga dan teruja dalam kalangan penonton tempatan yang pasti akan mengenali silhouette bangunan bersejarah ini di layar perak. Penonton juga berpeluang melihat wajah-wajah yang dikenali dalam babak-babak yang dirakam di sekitar Kuala Lumpur, hasil kerjasama Marvel Studios dengan pasukan produksi dan bakat tempatan, termasuk pelakon Malaysia Syaza Atheera.
Menurut pengarah filem Thunderbolts, Jake Schreier;
Aksi dalam filem ini adalah hasil kerjasama pasukan yang luar biasa. Kami berunding dengan firma kejuruteraan Malaysia untuk memastikan keselamatan aksi ini, terutama dari segi reka bentuk peralatan yang digunakan. Kami fokus kepada aksi base jumping dahulu sebelum meneruskan aksi sepenuhnya. Florence perlu melakonkan aksi itu sepenuhnya sebagai wataknya — tanpa sebarang potongan — dan dia benar-benar komited serta berjaya melaksanakannya dengan sempurna.
Bagi meraikan tayangan filem ini, Merdeka 118 akan dihiasi dengan tema Thunderbolts dari 29 April hingga 1 Mei. Saksikan pertunjukan cahaya yang memukau setiap malam dari jam 8:00 malam hingga 12:00 tengah malam. Raikan detik gemilang Malaysia di mata dunia apabila Merdeka 118 berubah menjadi penghormatan menjulang kepada para adiwira luar biasa Marvel.
Dalam Thunderbolts, Marvel Studios mengumpulkan sekumpulan antihero luar biasa — Yelena Belova, Bucky Barnes, Red Guardian, Ghost, Taskmaster dan John Walker. Selepas terperangkap dalam satu muslihat maut yang dirancang oleh Valentina Allegra de Fontaine, mereka yang terpinggir ini perlu menjalani misi berbahaya yang memaksa mereka berdepan sisi paling gelap dalam sejarah masing-masing. Adakah kumpulan yang penuh konflik ini akan berpecah-belah, atau menemui penebusan dan bersatu sebagai sesuatu yang lebih hebat sebelum segalanya terlambat?
Filem Thunderbolts dibintangi Florence Pugh, Sebastian Stan, Wyatt Russell, Olga Kurylenko, Lewis Pullman, Geraldine Viswanathan, Chris Bauer dan Wendell Pierce, bersama David Harbour, Hannah John-Kamen dan Julia Louis-Dreyfus.
Diarahkan oleh Jake Schreier, filem Thunderbolts akan mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 1 Mei 2025.
Post a Comment