Kami telahpun menonton menonton filem Lift (2024) di Netflix, dan ini adalah review filem Lift dari kami.


Filem Lift arahan F. Gary Gray, mengisahkan sekumpulan pencuri karya seni bernilai tinggi diketuai oleh Cyrus Whitaker (lakonan Kevin Hart). Mereka berenam diburu Interpol, diketuai oleh Abby Gladwell (lakonan Gugu Mbatha Raw) yang berusaha menangkap Cyrus dan pasukannya. Namun apabila pihak atasan Interpol mengarahkan Abby untuk merekrut pasukan Cyrus untuk mencuri emas dari seorang penjahat antarabangsa dan sebagai balasan, kesemua rekod jenayah lampau pasukan Cyrus akan dihapuskan oleh Interpol, Abby dan Cyrus akhirnya terpaksa bekerjasama. Apakah yang berlaku seterusnya? Jangan lupa saksikan filem Lift yang kini boleh ditonton di Netflix.


Jalan cerita filem Lift ini kedengarannya sama sahaja dengan beberapa filem heist yang pernah ditonton sebelum ini. Kelihatannya beberapa formula yang digunapakai dalam filem-filem terdahulu (dan berjaya) nampaknya digunakan juga untuk filem ini.  Ternyata agak mengecewakan, namun filem Lift ini masih seronok ditonton dengan beberapa adegan yang menarik.

Sesiapa sahaja yang biasa menonton lakonan Kevin Hart akan dapat merasakan watak-watak yang dibawakannya kelihatan sangat tipikal, sesuai profesionnya sebagai seorang pelawak. Namun ini adalah antara beberapa filem di mana Kevin Hart melakonkan watak yang lari jauh dari watak komedi, dan berjaya menjelmakan karisma untuk watak berkenaan. Sebagai ketua pasukan, Cyrus ditampilkan berpewatakan tenang, memimpin pasukannya di saat genting, dan berkarisma. Malah, watak berkenaan juga sanggup berkorban untuk memastikan pasukannya selamat. 


Seperti mana yang kami nyatakan tadi, jalan cerita filem Lift ini kelihatannya seperti gabungan beberapa filem terdahulu. Elemen dan idea dari beberapa filem heist lain jelas dapat dikesan ketika menonton filem Lift ini. Namun masih terdapat moment menarik, seperti contoh adegan mendebarkan dalam pesawat yang mengujakan (walaupun kelihatan terlalu merepek).


Selain Kevin Hart, filem Lift turut dibarisi pelakon seperti Gugu Mbatha-Raw. Úrsula Corberó, Vincent D'Onofrio, Billy Magnussen, Kim Yoon-ji, Viveik Kalra dan Jacob Batalon. Filem ini menggunakan tempat-tempat menarik seperti Venice dan London, selain elemen mewah sesuai dengan tema rompakan karya seni bernilai tinggi yang menjadi pembuka cerita untuk filem ini. 

Kesimpulannya, filem Lift berdurasi 1 jam 47 minit ini mempunyai jalan cerita yang cepat dan tidak mengambil masa lama untuk difahami penonton. Penyampaiannya juga mudah difahami dan straight forward tanpa side plot yang memeningkan.  Jangan lupa saksikan filem Lift di Netflix. 

PENILAIAN: 3.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post