Pempamer pawagam terkemuka, Golden Screen Cinemas (GSC) akan mempersembahkan produksi tempatan, MALBATT: Misi Bakara sebagai filem Malaysia pertama yang ditayangkan di layar IMAX di pawagam-pawagam terpilih seluruh negara.

Memberikan pengalaman sinematik yang tiada tandingan kepada penonton filem, MALBATT: Misi Bakara telah dikuasai semula secara digital dengan kualiti imej dan bunyi The IMAX Experience® menggunakan proses proprietari IMAX DMR® (Digital Re-mastering), lengkap dengan imej yang sangat jelas daripada geometri panggung tersuai IMAX dan audio digital yang berkuasa.

Berdasarkan kepada peristiwa sejarah sebenar Pertempuran Mogadishu di Somalia, filem MALBATT: Misi Bakara mengisahkan tentang bakti serta pengorbanan wira negara yang tidak didendangkan, Batalion Malaysia yang telah berjuang dengan penuh keberanian hingga berjaya menyelamatkan tentera Amerika yang terperangkap dalam serangan nahas helikopter Black Hawk (seperti dipaparkan dalam filem Black Hawk Down yang ditayangkan pada 2001).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee:

GSC memainkan peranan penting dalam memacu industri perfileman negara menerusi pelaburan dalam produksi filem tempatan dan memberikan pengalaman sinematik yang dipertingkatkan kepada peminat filem menerusi USP unik kami, termasuk IMAX. Penayangan MALBATT: Misi Bakara sebagai filem produksi tempatan pertama yang dikuasai semula secara digital ke dalam format IMAX adalah satu pencapaian penting bagi GSC, dan membuktikan komitmen kami dalam usaha memartabatkan landskap filem tempatan.

Filem MALBATT: Misi Bakara adalah sebuah filem padat dengan aksi perang dan adegan pantas, jadi amat bertepatan sekali dengan tayangan di IMAX. Filem ini menawarkan pengalaman sinematik yang lebih hebat dan mengasyikkan kepada para penonton. Dengan membawa filem aksi ke satu tahap yang lebih tinggi, kualiti audio and visual unggul yang dimiliki IMAX, GSC tampak yakin untuk mempersembahkan landskap kemusnahan akibat dari peperangan dengan sangat jelas, lantas membangkitkan semangat dan emosi yang kuat saat menonton di layar perak.

Pengarah filem MALBATT: Misi Bakara, Adrian Teh pula berkata;

Tayangan MALBATT: Misi Bakara yang telah dikuasai semula secara digital dalam IMAX adalah impian yang menjadi kenyataan di layar perak. Ia merupakan satu pencapaian baharu bagi filem tempatan, dan saya gembira kerana penonton dapat menyaksikan filem ini dalam format terbaik yang dapat kami sediakan.

Tayangan awal eksklusif filem MALBATT: Misi Bakara akan ditayangkan di panggung IMAX pada 18 Ogos 2023, manakala semua format filem yang lain akan ditayangkan di seluruh negara pada 24 Ogos 2023 ini.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post