Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem biopik yang amat dinantikan, iaitu Oppenheimer (2023) bertempat di TGV 1 Utama pada 20 Julai 2023 yang lalu. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Oppenheimer dari kami.

Berdasarkan buku yang memenangi Anugerah Pulitzer iaitu American Prometheus: The Triumph and Tragedy of J. Robert Oppenheimer karya Kai Bird dan Martin J. Sherwin, filem Oppenheimer mengisahkan tentang saintis Amerika bernama J. Robert Oppenheimer yang berperanan penting dalam usaha pembangunan dan penyelidikan untuk menghasilkan bom atom pertama, yang akhirnya digunakan untuk mengebom bandar Hiroshima dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua sehingga memaksa Jepun menyerah kalah. Filem Oppenheimer diarahkan oleh Christopher Nolan dan kini sedang ditayangkan di pawagam.

Suka kami mengingatkan anda terlebih dahulu, jika anda harapkan filem Oppenheimer ini ada adegan aksi, maka berundurlah. Ini kerana filem Oppenheimer ini merupakan sebuah filem biopik yang penuh dialog dan perbualan. Dengan durasi tayangan 3 jam, filem ini pasti menimbulkan perasaan bosan buat penonton yang hanya mahukan filem aksi semata-mata. Namun percayalah, bagi penggemar filem biopik, filem Oppenheimer ini pasti akan berpuas hati, dengan untaian dialog yang mengesankan, dan babak tegang yang memuncak hingga ke hujung filem. 

Walaupun berdurasi 3 jam, boleh kami katakan yang filem Oppenheimer padat dengan drama dan penceritaan yang menarik, dibantu barisan pelakon hebat yang berjaya menghidupkan semula perwatakan tokoh-tokoh penting Perang Dunia Kedua yang membawa kepada penghasilan bom atom pertama di dunia. Yang menariknya, filem ini tidak terlalu 'memaksa' penonton untuk memahami istilah-istilah fizik kuantum yang memeningkan, sebaliknya lebih menekankan elemen drama melalui susunan dialog dan plot yang mantap. Sekali lagi Christopher Nolan berjaya menyajikan filem yang membuatkan penonton berfikir dan tampil dengan kesimpulan tersendiri - adakah Oppenheimer (dan pasukannya) adalah sebenarnya penyelamat manusia, ataupun pemusnah dunia. Apatah lagi hasil ciptaannya menyebabkan ribuan mangsa menjadi korban dan merana akibat letupan bom atom yang memusnahkan 2 bandar utama Jepun. 

Kesimpulannya, filem Oppenheimer ini merupakan filem biopik drama yang sesuai ditonton untuk mereka yang menggemari genre filem sebegini, ataupun mereka yang `sabar' mengikuti sorotan kisah hidup Oppenheimer melalui bibit-bibit dialog yang merungkai satu demi satu jalan cerita. Kami sarankan anda menonton di pawagam dilengkapi IMAX untuk pengalaman menonton yang lebih memuaskan. 

PENILAIAN: 4.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post