Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem terbaharu, Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves (2023) bertempat di TGV IMAX Sunway Pyramid pada Selasa lalu. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves dari kami.

Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves mengisahkan dua orang pencuri iaitu Edgin Darvis (lakonan Chris Pine) dan Holga Kilgore (lakonan Michelle Rodriguez) yang ingin melakukan suatu rompakan besar-besaran dan membalas dendam terhadap Forge Fitzwilliam (lakonan Hugh Grant), bekas anggota kumpulan mereka yang licik dan telah memerangkap mereka, dan kini memegang gelaran Lord of Neverwinter. Dalam masa yang sama, anak Edgin, iaitu Kira telah di'brainwash' oleh Forge, menyebabkannya membenci bapanya. 

Dalam usaha memastikan perancangannya berjaya, Edgin dan Holga menjejak semula Simon (yang kini menjadi ahli sihir jalanan), Doric yang merupakan seorang shape-shifter (lakonan Sophia Lillis) dan Xenk Yandar (lakonan Regé-Jean Page). Dapatkah pasukan pencuri tersebut mencapai objektif mereka untuk merampas kekayaan milik Forge, menyelamatkan Kira dan seterusnya membalas dendam terhadap rakan mereka yang berpaling tadah tersebut? Jangan lupa saksikan filem Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Permainan Dungeons & Dragons sememangnya agak asing bagi kami, namun ianya tidaklah menghalang kami dari memahami penceritaan dalam filem Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves, yang menampilkan jalan cerita yang ringan dan tidak berselirat. Sebagai filem adaptasi permainan fantasi tabletop role-playingDungeons & Dragons: Honor Among Thieves menampilkan jalan cerita bersahaja, diselang-seli dengan visual kesan khas yang memukau. Malah, terdapat juga elemen kelakar melibatkan interaksi antara watak-watak dalam filem ini, namun tidaklah keterlaluan hingga mengganggu tempo keseluruhan filem. Boleh dikatakan yang penonton tidak akan sempat berasa bosan ketika menonton filem ini di pawagam. 

Paling mencuri tumpuan dalam filem Dungeons & Dragons: Honor Among Thieves ini sudah semestinya aktor Hugh Grant, yang cemerlang menampilkan dua sisi berbeza watak Forge Fitzwilliam. Ditambah lagi dengan aksi hebat ditampilkan Michelle Rodriguez sebagai Holga yang mengadaptasikan beberapa gerakan penggusti dalam aksi pertarungan, semestinya menghiburkan. Secara keseluruhannya, filem ini sangat menghiburkan dan mampu berdiri sendiri tanpa perlu memahami atau bermain terlebih dahulu permainan Dungeons & Dragons untuk mengikuti jalan ceritanya. 

PENILAIAN: 4/5 BINTANG 

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post