Filem Devotion (2022) adalah filem biografi perang berdasarkan buku Devotion: An Epic Story of Heroism, Friendship, and Sacrifice nukilan Adam Makos yang diterbitkan pada 2015. Ianya mengisahkan tentang hubungan dan persahabatan antara pegawai tentera udara Jesse Brown dan Tom Hudner sewaktu Perang Korea sekitar 1950-an. Filem Devotion diarahkan oleh J. D. Dillard, dan dibarisi pelakon seperti Jonathan Majors (sebagai Brown) dan Glen Powell (sebagai Hudner), di samping Christina Jackson, Daren Kagasoff, Joe Jonas, Nick Hargrove, Spencer Neville, dan Thomas Sadoski.

Berlatarkan awal tahun 1950, Leftenen Tom Hudner yang baru sahaja bertukar ke Skuadron Pejuang 32 (VF-32) di Quonset Point Naval Air Station, dan bertemu dengan Ensign Jesse Brown, satu-satunya individu kulit hitam yang menjadi anggota unit tersebut. Ensign Brown akhirnya terpilih untuk menjadi wingman kepada Hudner, menjadikan hubungan mereka menjadi lebih rapat. 

Skuadron VF-32 dipertanggungjawabkan untuk menggunakan pesawat Corsair dan ditugaskan di atas kapal pengangkut USS Leyte untuk stesen di Laut Mediterranean Sea untuk menghalang kemaraan tentera Soviet. Namun mereka akhirnya ditugaskan untuk membantu tentera Marines di Chosin Reservoir, di mana pesawat dipandu Brown akhirnya mengalami kerosakan dan terhempas dalam kawasan musuh. Apakah yang berlaku selanjutnya, dan dapatkah Brown diselamatkan? Jangan lupa saksikan filem Devotion yang kini boleh ditonton di Netflix

Filem Devotion menampilkan sisi gelap Amerika Syarikat masa lalu - yang masih berdepan isu perkauman dan perbezaan warna kulit yang ketara. Disebabkan itu, Jesse Brown menjadi seorang yang skeptikal, namun dalam masa yang sama, terus kuat untuk tampil menjadi yang terbaik. Ini dapat disaksikan apabila setiap hari, Jesse Brown akan masuk ke tandas, menghadap cermin dan mengulangi kata-kata kesat dan nista yang dihamburkan kepadanya oleh orang lain, sebagai coping mechanism untuk menjadikan dirinya lebih kuat. Dia menjadi muak dengan orang yang mempertikaikan keupayaannya, terutamanya mereka yabg berkulit putih, dan memilih untuk menentukan tindakannya sendiri walaupun sehingga akhirnya menyebabkan dia mengabaikan arahan pegawai atasannya.

Filem Devotion menunjukkan Jesse Brown sebagai hero orang kulit hitam. Kejayaannya menjadi orang kulit hitam pertama menjadi pegawai tentera udara meninggalkan kesan mendalam kepada komuniti kulit hitam, malah diangkat sebagai inspirasi di kalangan warga kulit hitam yang bertugas di atas kapal pengangkut pesawat tempat beliau bertugas. Walaupun begitu, beliau tidak gemar dengan gelaran, dan lebih gemar menyendiri dan mengetepikan prejudis terhadap dirinya dan warga kulit hitam lain. Jesse Brown juga amat menjaga tingkahlakunya, memandangkan beliau telah berkahwin dan punyai anak, selain memilih untuk tidak merokok dan meminum minuman keras.

Berlatarkan zaman perang, filem ini disulami dengan aksi peperangan di udara yang tak kurang hebatnya. Walaupun tidaklah segah Top Gun: Maverick (2022), ianya masih lagi seronok ditonton dan tiada satupun adegan peperangan yang membosankan. Adegan peperangan di darat juga tidak seganas Saving Private Ryan, namun cukup untuk mendatangkan keseronokan tersendiri kepada penonton.

Tak sabar pula kami nantikan Jonathan Majors sebagai Kang the Conqueror nanti.

PENILAIAN : 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post