Kami baru berkesempatan menonton filem The Assistant (2022) di saluran penstriman Netflix, dan ini adalah review filem The Assistant dari kami.

Filem The Assistant mengisahkan tentang Zafik (lakonan Iedil Dzhurie Alaudin), seorang bekas banduan yang dipenjarakan secara salah. Setelah hilang segala-galanya termasuk insan tersayang, Zafik bekerjasama dengan Feroz (lakonan Hairul Azreen), seorang lelaki yang secara misteri selalu muncul di ketika dan masa yang tepat untuk membantunya mencari siapakah yang bertanggungjawab membunuh isteri dan anaknya. 

Apa yang cuba ditampilkan oleh pengarah filem The Assistant ini ternyata berbeza. Plot twist yang ditampilkan di penghujung filem ternyata mengejutkan kami, yang pada awalnya menjangkakan filem ini hanyalah filem aksi biasa.. Cubaan pengarah dan penulis skrip untuk bermain dengan plot cerita ternyata bijak menyembunyikan 'kejutan' di penghujung filem ini, sehingga kami pun tidak sangka yang ianya diolah sebegitu rupa.

Watak Zafik dalam filem The Assistant ini ternyata 'hidup' di tangan Iedil Dzuhrie Alaudin. Beliau berjaya menjelmakan watak Zafik sebagai seorang yang tidak bersalah, tetapi diperangkap dan diperalatkan orang-orang di sekelilingnya. Penonton pasti berasa kasihan dan dapat sama-sama menjiwai watak Zafik tersebut, dan pastinya boleh faham konflik yang melanda dalam diri. Beliau mahukan kedamaian, tapi dalam masa yang sama mahu mencari orang yang bertanggung jawab terhadap kematian ahli keluarganya. Dalam beberapa adegan, lakonannya telah 'menenggelamkan' gaya lakonan Hairul Azreen yang ternyata lebih dikenali oleh penonton. 

Pujian harus diberikan kepada Hairul Azreen kerana kami merasakan ada peningkatan dari filem-filem lakonannya terdahulu. Namun, ada ketikanya nada suaranya ketika melontarkan dialog masih boleh diperbaiki. Namun, kami tak boleh nafikan kehebatannya ketika melakonkan babak-babak aksi yang boleh dikatakan setaraf dengan filem luar negara. Babak-babak aksi yang ditampilkan melibatkan watak lakonannya ternyata membantu untuk menarik penonton kekal fokus. Campuran karakter nakal, playful, sinis dan kejam ternyata berjaya ditampilkan oleh Hairul Azreen dalam menghidupkan karakter Feroz untuk filem The Assisstant ini. 

Filem The Assistant dilihat berjaya membawa satu dimensi baharu dalam arena perfileman tempatan. Walaupun ada yang membandingkannya dengan jalan cerita filem luar negara, namun kami merasakan dengan sentuhan tempatan yang ditampilkan, ianya masih dapat berdiri sendiri sebagai satu penerbitan tempatan yang berjaya. Jika anda boleh mengabaikan beberapa babak CGI yang nampak agak 'murah', maka The Assistant masih merupakan sebuah filem yang menarik untuk ditonton.

PENILAIAN: 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post