Rabu lalu, kami berkesempatan menonton filem Laal Singh Chadda (2022) bertempat di TGV 1 Utama. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut.


Filem Laal Singh Chaddha mengambil inspirasi dari filem Forrest Gump, mengisahkan seorang lelaki yang mengubah dunia dan orang-orang di sekitarnya hanya dengan sikap baik budi dan berbuat baik sesama manusia. Mengisahkan tentang Laal (lakonan Aamir Khan) yang hanya mahu membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang-orang yang disayanginya, terutamanya ibunya, dan wanita yang dikasihinya, Rupa (lakonan Kareena Kapoor). Jalan cerita filem ini sememangnya familiar, terutamanya bagi mereka yang pernah menonton filem Forrest Gump (lakonan Tom Hanks) namun diubahsuai dan ditambah dengan elemen berlatarkan negara India, menjadikan ianya seolah saebuah filem dengan 'rencah' dan identiti tersendiri. Jika Forrest Gump mengambil latar penceritaan sejarah-sejarah besar abad ke-20 yang berlaku di Amerika Syarikat seperti Perang Vietnam dan skandal Watergate, filem Laal Singh Chadda pula menampilkan peristiwa penting di India seperti Perang Kargil, serangan terhadap Masjid Babri dan pembunuhan Indira Gandhi. Juga ditampilkan beberapa perubahan kecil tetapi signifikan untuk disesuaikan dengan latar India, seperti menggantikan kotak berisi coklat yang dipegang oleh Forrest Gump semasa menunggu bas, kepada kotak berisi Golgappa yang dipegang oleh Laal ketika menaiki keretapi.


Perjalanan Laal menaiki keretapi menelusuri India juga digarap dengan menarik, di mana Laal berjaya 'memancing' interaksi di kalangan mereka yang duduk berdekatan dengannya dalam keretapi, seterusnya berkembang sedikit demi sedikit menjadi jalan cerita untuk keseluruhan filem ini. Umum mengetahui yang keretapi amatlah sinonim dengan negara India, dan merubah jalan cerita asal dan meletakkan Laal Singh Chadda dalam perjalanan keretapi sememangnya langkah bijak dari penerbit dan pengarah filem ini.


Tidak banyak yang boleh kami ulas berkaitan filem ini, kerana jika anda pernah menonton filem Forrest Gump, ada beberapa moment dari filem ini yang sememangnya amat dikenali dan jelas mengambil inspirasi dari filem asal. Jika anda tidak pernah menonton filem Forrest Gump pun tidak mengapa, kerana filem ini berupaya berdiri sendiri tanpa perlu apa-apa rujukan kepada filem asal. Jalan ceritanya straight forward dan tidak berbelit. Namun dengan masa tayangan selama 2 jam 30 minit, ianya dirasakan agak draggy dan boleh disingkatkan lagi. 


Seperti mana filem Hindustan lain, filem ini juga diselang seli dengan muzik dan lagu yang mendayu, namun tidak keterlaluan. Nasib baik tiada adegan tarian di lereng bukit, kalau tak, mungkin kami dah keluar awal dari pawagam. Terdapat juga beberapa babak yang mampu mengusik emosi penonton, sehingga membuatkan air mata bertakung. Bijak pengarah dan pelakon bermain dengan emosi, sehingga boleh mengundang perasaan sebak di kalangan penonton.

Laal Singh Chadda diarahkan oleh Advait Chandan dan dibintangi oleh Aamir Khan, Kareena Kapoor Khan, Naga Chaitanya, dan Mona Singh, dan kini sedang ditayangkan di pawagam. Jangan lupa saksikan filem Laal Singh Chadda di pawagam berhampiran anda.

RATING SEMBANGFILEM: 4/5 BINTANG


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post