Semalam, kami berkesempatan menonton filem aksi terbaharu di pawagam iaitu Bullet Train (2022) bertempat di TGV Cheras Selatan. Dan ini adalah review filem Bullet Train dari kami.


Filem Bullet Train menggabungjalinkan beberapa kisah yang akhirnya merungkai kisah setiap watak yang ditampilkan dalam filem ini. Mengisahkan Ladybug (lakonan Brad Pitt) yang pada awalnya hanyalah mempunyai misi mudah untuk mendapatkan sebuah beg bimbit dari sebuah bullet train, dan membawanya turun dari keretapi tersebut. Malangnya, dia bertembung dengan beberapa orang pembunuh upahan di dalam bullet train tersebut, masing-masing dengan nama gelaran/ samaran seperti Lemon, Tangerine, Hornet, Wolf dan lain-lain, menyebabkan dirinya terperangkap. Tambah merumitkan keadaan apabila setiap pembunuh upahan tersebut menerima arahan ataupun mempunyai motif yang berbeza-beza, tetapi sebenarnya saling berkait antara satu sama lain. Keadaan ini mewujudkan suasana kelam-kabut di dalam keretapi tersebut, dan sedikit demi sedikit, misteri dan kaitan antara mereka semua semakin terungkai. Berjayakah Ladybug turun dari keretapi tersebut dan menyelesaikan misi mudahnya? Jangan lupa saksikan filem Bullet Train yang kini sedang ditayangkan di pawagam. Harus diingat, filem ini hanya boleh ditonton oleh mereka berumur 18 tahun ke atas sahaja kerana ada elemen ganas.



Filem Bullet Train berjaya menampilkan elemen aksi, komedi, rasa bersalah, dilema, masalah perhubungan keluarga, dan perseteruan kumpulan kongsi gelap dengan sangat menarik. Dengan hanya menggunakan bullet train berlatarkan negara Jepun, sedikit demi sedikit jalan cerita, watak-watak, dan motif setiap individu dirungkai secara beransur-ansur. Ini sekaligus 'menarik' penonton untuk kekal fokus terhadap jalan cerita filem ini, yang tidak sesekali menampilkan adegan yang berulang-ulang dan membosankan. 


Dibarisi pelakon hebat seperti Brad Pitt, Aaron Taylor-Johnson, Andrew Koji, Joey King, Brian Tyree Henry, Michael Shannon, Hiroyuki Sanada, Bad Bunny, Masi Oka, Zazie Beetz, Logan Lerman, Karen Fukuhara dan Sandra Bullock, Bullet Train sesungguhnya sebuah filem yang menarik, walaupun resepi jalan ceritanya pernah ditampilkan dalam filem-filem lain sebelum ini. Berlatarkan lokasi yang mudah (hanya dalam keretapi), namun kupasan demi kupasan latar penceritaan setiap watak dapat dilaksanakan dengan amat baik. Naratif dan aksi yang ditampilkan juga pada kami amatlah seimbang. Ini sudah tentunya dibantu dengan penampilan barisan pelakon hebat yang kami nyatakan di awal tadi, yang berjaya menghayati setiap watak, motif dan emosi yang berkesan.


Namun, filem ini tidak boleh lari daripada beberapa isu yang kami rasakan agak mengganggu dan keterlaluan. Antaranya, babak aksi ketika hampir penghujung filem ini, yang kami rasakan terlalu berlebihan penggunaan elemen CGI. Adegan babak berlawan mungkin kelihatan menarik, namun babak CGI seperti adegan letupan dan perlanggaran dirasakan agak berlebihan. Ianya tidak merencatkan jalan cerita, namun penggunaan CGI yang berlebihan juga boleh menjadikan sesuatu filem itu kelihatan agak fake (walaupun ianya hanyalah sekadar filem, dan dihasilkan bagi tujuan hiburan semata-mata). 

PENILAIAN: 4.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post