Filem yang bertemakan kekeluargaan agak jarang diterbitkan, meskipun naskhah bergenre sedemikian mampu menarik minat penonton jika dihasilkan dengan sebuah jalan cerita yang menarik. Istimewanya, ia merupakan langkah pertama buat syarikat produksi D’Ayu Pictures untuk menerbitkan sebuah filem kekeluargaan berjudul Perjalanan Pertama

Lebih menarik, filem berkenaan juga merupakan usahasama antara syarikatnya bersama Mahakarya Pictures yang merupakan syarikat produksi Indonesia.

Penerbit Eksekutif D'Ayu Pictures, Dato’ Rosmar Ayu Mokhtar berkata, Perjalanan Pertama merupakan nashkah sulung terbitan syarikatnya yang mengangkat kisah kekeluargaan tentang hubungan antara datuk dan cucu. Menurutnya:

“Apabila meneliti naskhah dan jalan cerita filem Perjalanan Pertama ini, saya melihat ia sesuatu yang cukup menarik untuk diketengahkan. Ia sebuah filem road trip membabitkan datuk dan cucunya dan sepanjang perjalanan mereka itu, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi.

Dato’ Rosmar Ayu berkata, Perjalanan Pertama tidak sekadar sebuah kisah penggembaraan semata-mata kerana apa yang ingin disampaikan kepada penonton adalah membabitkan hubungan kekeluargaan.

Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut mengenai filem berkenaan, beliau menjelaskan ia menelan kos produksi sebanyak RM1.75 juta serta menjalani penggambaran di Bukit Tinggi, Indonesia sekitar awal tahun 2020. Tambahnya lagi:

Perjalanan Pertama sudah ditayangkan di Indonesia sejak 14 Julai lalu dan sambutan yang diterima penonton di sana cukup menggalakkan. Menerusi penelitian kami di platform media sosial pula, ramai penonton yang memberikan pujian dan review positif serta suka dengan jalan ceritanya.

Perjalanan Pertama diarahkan oleh Arief Malinmudo, dan mengandingkan pelakon hebat dari dua negara iaitu Dato Ahmad Tamimi Siregar dan Muzakki Ramdhan. Selain itu, ia turut menampilkan beberapa barisan pelakon popular lain seperti Adinda Thomas, Randy Pangalila, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra.


Sementara itu, Arief selaku pengarah mengakui filem Perjalanan Pertama sememangnya cukup istimewa buat dirinya. Menurutnya:

Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan buat diri saya untuk bekerjasama dengan seorang pelakon hebat Malaysia seperti Ahmad Tamimi. Apa yang boleh saya katakan, filem ini memang wajar untuk ditonton kerana jalannya itu sendiri, selain sinematografinya yang cukup memukau.

Filem Perjalanan Pertama mengisahkan tentang Tan, seorang pekerja kedai cenderamata di sebuah kampung serta tinggal bersama cucunya, Yahya.  Pada masa sama, Yahya yang semakin membesar sering bertanya kepada datuknya tentang identiti ibu bapanya. Ternyata, semua persoalan akhirnya terjawab ketika mereka menghadapi masalah sewaktu dalam perjalanan untuk menghantar sebuah lukisan yang juga merupakan mas kahwin untuk satu pasangan yang akan bernikah. Sebuah perjalanan yang akan mengubah seluruh hidup Yahya dan Tan.

Untuk rekod, filem Perjalanan Pertama telahpun mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 18 Ogos lalu. Jangan lupa saksikan filem Perjalanan Pertama di pawagam berhampiran anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post