Selain membesar dengan watak-watak animasi superhero dari luar negara, suatu masa dahulu negara kita tidak kurang hebatnya dengan watak superhero yang tersendiri dan lain dari yang lain. Kanak-kanak yang membesar sekitar tahun 1990-an pastinya kenal atau sekurang-kurangnya pernah mendengar nama Keluang Man, salah satu siri animasi yang terkenal pada waktu itu.

Kini, pengumuman terbaharu menyatakan yang Keluang Man akan difilemkan, dan Astro Shaw telah dipilih untuk mengadaptasikan Keluang Man ke layar perak!

Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta bersama pemegang hakmilik Keluang Man, iaitu Iconic Animation Studio Sdn Bhd untuk mengadaptasi Keluang Man ke layar perak, menjadikannya filem aksi pertama untuk watak tersebut. 

Memetik laporan oleh Astro Awani, Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, beliau berkata:

Kami percaya jenama Keluang Man amat besar dalam industri seni animasi tempatan dan mempunyai peminat tersendiri yang membesar bersama siri animasi ini. Meskipun jenama ini telah lama disiarkan, namun apabila ia diulang tayang selepas 10 tahun kemudian, ia masih mendapat sambutan baik dan itu membuktikan animasi adiwira ini mampu meninggalkan kesan di hati penonton dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman. Kami harap berita baik ini dapat memberi keterujaan buat peminat dan sekali gus dapat membuktikan karya animasi tempatan mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi”.

Keluang Man merupakan siri animasi superhero berkonsepkan komedi, dan terkenal sejak kemunculan pertamanya di kaca TV pada tahun 1998. Watak Keluang Man, ataupun nama sebenarnya Borhan, sebenarnya merupakan seorang pesakit mental di Hospital Mental Tampoi, dan disebabkan kawalan keselamatan yang ketat pada sebelah siang, Borhan atau Keluang Man terpaksa menyusup keluar pada sebelah malam sahaja untuk menerangi jenayah. Selain Keluang Man, antara watak yang terkenal dari siri TV itu adalah Inspektor Shahab dan juga Tiong Man, watak yang diperkenalkan di musim kedua siri TV tersebut sebagai sidekick kepada Keluang Man (seperti Robin kepada Batman). Manakala watak penjahat dari siri TV tersebut pula adalah seperti Badut, Mata Batu Johan Hitam, Samsir, Majid Kilat, Meow The Cat Girl dan banyak lagi.

Apakah yang bakal disajikan untuk peminat filem dalam filem Keluang Man ini nanti? Sama-sama kita nantikan.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post