Hari ini, kami berkesempatan menonton filem The Lost City (2022) di TGV 1 Utama. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut.

The Lost City (2022) mengisahkan tentang seorang penulis buku bernama Loretta Sage (lakonan Sandra Bullock) yang menulis buku pengembaraan ke lokasi eksotik, diselitkan dengan elemen romantik dalam buku tulisannya. Manakala Alan (lakonan Channing Tatum) merupakan seorang model yang dijadikan gambaran watak utama bernama Dash untuk muka depan buku tersebut. Ketika sedang mempromosikan buku terbaharunya bersama Alan, Loretta telah diculik dan dilarikan ke sebuah pulau terpencil oleh seorang billionaire bernama Abigail Fairfax (lakonan Daniel Radcliffe) untuk membantunya mengesan lokasi harta karun digelar Crown of Fire di sebuah kota yang hilang, yang ada disebutkan dalam buku terbaharu Loretta. Enggan menjadi seorang model yang hanya mengharapkan rupa, Alan mengambil keputusan untuk menjejak Loretaa ke pulau terpencil tersebut dan menyelamatkannya dari penjahat. Berjayakah Alan dalam misinya itu, dan berjayakah Fairfax mendapatkan Crown of Fire? Jangan lupa saksikan The Lost City (2022) yang akan ditayangkan bermula 7 April 2022.

BERKAITAN: Poster dan Trailer Filem The Lost City - Lakonan Sandra Bullock dan Channing Tatum

Filem The Lost City ini bukanlah filem bertema berat dan lebih ke arah filem romantik komedi. Walau tidak dibarisi ramai pelakon, namun Sandra Bullock dan Channing Tatum berjaya menghasilkan gabungan yang menjadikan filem ini menarik. Ditambah pula penampilak Daniel Radcliffe, dan Brad Pitt! Paling menarik (dan tentunya mahal) sudah tentunya adalah penampilan khas Brad Pitt dalam filem ini sebagai Jack Trainer. Walaupun seketika, namun ternyata kemunculannya itu dapat menarik tumpuan penonton dengan lakonan bersahajanya, dan tukaran dialognya bersama Sandra Bullock. 

Jalan cerita filem The Lost City sememangnya boleh dijangka dan tidak memerlukan penonton mengerahkan otak. Hanya perlu tonton dan hadam. Elemen-elemen kelakar yang cuba disuntik dalam filem ini, seperti biasa, ada yang menjadi, dan ada juga yang kedengaran agak cliche

BERKAITAN: TV Spot Dan Poster Terbaharu Filem The Lost City Diperlihatkan

Sayangnya, watak Daniel Radcliffe sebagai Abigail Fairfax, billionaire British yang menculik Loretta seakan tenggelam, dan hanya menjadi watak penjahat/ penculik yang tipikal. Ya, dia sebagai mastermind untuk pencarian Crown of Fire, dan dia juga mempunyai konco-konco yang bersedia melakukan apa sahaja, namun hanya setakat itu sahaja peranannya. Dan kami masih lagi sukar untuk membuang imej Harry Potter darinya, walaupun tampil berjambang dalam filem The Lost City.

The Lost City sangat sesuai untuk mereka yang inginkan suasana santai dan relaks ketika menonton filem. Tidak berat, dan mudah difahami. Jangan lupa untuk menonton filem The Lost City di pawagam bermula 7 April 2022.

RATING SEMBANGFILEM : 4/5 bintang (disebabkan Brad Pitt)

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post