Murah betul rezeki Ryan Reynolds, ada sahaja projek filemnya dengan Netflix. Terbaharu, beliau muncul dalam filem The Adam Project di Netflix. Jom baca review filem The Adam Project dari kami.

Dalam filem The Adam Project, Ryan Reynolds melakonkan watak seorang juruterbang bernama Adam Reed, dari tahun 2050 dan cuba melarikan diri dari ancaman di tahun tersebut dengan menaiki sebuah pesawat canggih, dengan sasarannya adalah untuk merentas masa dan kembali ke tahun 2018. Malangnya, beliau terkandas di tahun 2022, dan tambah merumitkan keadaan apabila beliau telah bertemu dengan dirinya sendiri yang baru berumur 12 tahun pada 2022 tersebut (Adam Reed versi muda dilakonkan oleh pelakon berbakat besar, Walker Scobell). Tujuan Adam Reed (tahun 2050) ingin kembali ke tahun 2018 adalah untuk menyekat seorang wanita yang juga rakan kongsi mendiang bapanya, Louis Reed (lakonan Mark Ruffalo) dari membolot teknologi merentas masa dicipta mendiang bapanya, di samping menyelamatkan isterinya, Ellie Reed (lakonan Zoe Saldana). Pelbagai peristiwa berlaku antara mereka berdua sebelum mereka akhirnya dapat kembali ke tahun 2018. Dapatkah mereka berdua menyelamatkan insan yang mereka sayang dari ancaman bahaya dari masa hadapan? Jangan lupa saksikan filem The Adam Project di Netflix.

BERKAITAN: Filem Terbaharu Di Netflix - The Adam Project Lakonan Ryan Reynolds

The Adam Project menyatukan kembali Ryan Reynolds dengan Shawn Levy, yang juga pernah bekerjasama dengan Ryan dalam satu lagi filem Netflix sebelum ini, iaitu Free Guy. Walaupun idea filem merentas masa ini sudah agak lapuk dan dianggap terlalu biasa, namun kelebihan filem The Adam Project ialah ianya menyelitkan unsur kekeluargaan yang kuat, dan mengungkap rasa kerinduan mendalam seorang anak terhadap bapanya yang telah meninggal dunia. Ryan dan Walker berjaya menampilkan dinamik lakonan yang mantap dan bersahaja, sesuai dengan usia dan latar belakang watak yang mereka lakonkan. 

Ironinya, kedua-dua watak Adam Reed menampilkan sisi kesedihan yang berbeza. Adam Reed (tahun 2050 lakonan Ryan Reynolds) kelihatan bersahaja dan tidak terlalu memikirkan kesedihan atas kematian bapanya yang telah berlaku, dan ada kalanya menyalahkan bapanya kerana terlalu sibuk bekerja dan tidak memberikan perhatian secukupnya kepada beliau. Berbeza dengan Adam Reed (tahun 2022 lakonan Walker Scobell) yang hanya baharu setahun lebih kematian bapanya, jadi emosinya lebih tidak stabil dan sedikit memberontak, Ini dapat dilihat daripada masalah yang ditimbulkan di sekolah, dan interaksi dengan ibunya yang agak dingin. Walau bagaimanapun, di penghujung filem, kedua-dua karakter ini mendapat keadilannya sendiri dan dapat menerima hakikat yang bapa mereka sememangnya amat sayangkan mereka, dan sanggup melakukan apa sahaja untuk membahagiakan mereka. Kami juga sedikit teremosi apabila menonton filem The Adam Project ini. 

The Adam Project diarahkan oleh Shawn Levy, dan turut dibintangi barisan pelakon seperti Mark Ruffalo, Jennifer Garner, Walker Scobell, Catherine Keener dan Zoe SaldaƱa.

RATING SEMBANGFILEM: 4/5 BINTANG


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post