Walaupun telah ditayangkan di pawagam pada tahun lepas, kami baharu berkesempatan menonton filem Roh di saluran Netflix beberapa hari lalu. Dan selepas menonton filem Roh, baharulah kami faham kenapa ianya terpilih untuk mewakili Malaysia untuk pencalonan di Anugerah Academy (Oscars) dalam kategori Best International Feature Film.


Mengambil latar di sebuah rumah diperbuat dari buluh di dalam hutan, Roh tidak memerlukan pelakon yang ramai mahupun set yang gah dan keterlaluan. Tidak dinyatakan di zaman bila, tetapi suasana kehidupan satu keluarga terdiri daripada seorang ibu dan 2 orang anak (seorang perempuan, seorang lelaki) sudah cukup menghidupkan suasana. Dari gaya kehidupan, keluarga ini hidup amatlah sederhana, dengan mencari hasil tangkapan di hutan, memelihara ayam untuk dijadikan makanan, dan hanya bertemankan lampu minyak tanah di malam hari. Selepas didatangi seorang kanak-kanak perempuan yang berpewatakan aneh, keluarga itu berhadapan dengan pelbagai peristiwa pelik dan mistik dan seram.

Filem-filem bergenre seram, baik tempatan mahupun luar, seringkali bermain dengan suasana gelap, bunyi-bunyi menakutkan, dan elemen kejutan yang terlalu kerap, sehinggakan pengkisahan dan penamatnya boleh dijangka oleh penonton. Berbeza dengan filem Roh, penonton dapat mengalami dan merasai sesuatu yang baharu dalam genre filem seram tempatan. Syabas kepada pengarah filem Roh, Emir Ezwan yang berjaya membawakan olahan yang berlainan untuk filem Roh

Walaupun ada sebahagian yang merasakan jalan cerita Roh ini terlalu perlahan dan tidak banyak dialog yang dituturkan oleh barisan pelakonnya, namun ini difahami sebagai cara untuk menonjolkan elemen seram dan misteri. Dan walaupun tidak menampilkan barisan pelakon yang ramai, namun pelakon yang ditampilkan berjaya membawakan watak mereka dengan cemerlang sekali. Bukan sahaja watak dewasa lakonan Nam Ron, Farah Ahmad dan June Lojong sudah mantap, malah barisan pelakon kanak-kanak iaitu Mhia Farhana, Harith Haziq dan Putri Qaseh juga berjaya menghidupkan watak masing-masing.

Dari segi sinematografi, pencahayaan dan jalan ceritta, tiada komplen dari kami. Bila menonton sendiri filem Roh ini, baharu kami faham kenapa filem Roh ini terpilih mewakili Malaysia ke Anugerah Oscars.

Secara keseluruhan, kami berikan 4.5/ 5 bintang untuk filem Roh. Jangan lupa saksikan sekarang di saluran Netflix.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post