Kami baharu sahaja berkesempatan menonton satu lagi filem di Netflix yang kini di tangga nombor 1 tontonan di Malaysia, iaitu Fatherhood. Filem ini berdasarkan kisah benar dari buku Two Kisses for Maddy: A Memoir of Loss and Love oleh Matthew Logelin yang diterbitkan pada 2011, mengisahkan perjalanan hidupnya membesarkan anak perempuannya seorang diri selepas kematian isterinya sejurus selepas melahirkan anak perempuan mereka, Maddy. Filem Fatherhood dibintangi oleh Kevin Hart, Alfre Woodard, Frankie R. Faison, Lil Rel Howery, DeWanda Wise, Anthony Carrigan, Melody Hurd, dan Paul Reiser

Filem Fatherhood mengisahkan tentang Matthew Logelin, yang berhadapan kesedihan dan kejutan akibatkematian mengejut isterinya, Liz Logelin akibat pulmonary embolism, hanya 27 jam selepas melahirkan anak pertama mereka. Dalam sekelip mata, kebahagian dan kegembiraan Matthew diragut, dan beliau berhadapan dengan situasi muram dan cabaran untuk membesarkan bayi perempuannya. Ramai yang tidak yakin beliau mampu mengurus dan membesarkan anak perempuannya sendiri, termasuklah ahli keluarga, rakan rapat dan rakan sekerjanya sendiri, Situasi ini menimbulkan tekanan kepada dirinya, ditambah lagi dengan cabaran di tempat kerja sehingga hampir dipecat akibat gangguan dari bayinya semasa menjalankan tugas. Dapatkah beliau menangani masalah tersebut dan membesarkan anak perempuannya seperti mana yang diinginkan oleh mendiang isterinya? Jangan lupa tonton filem Fatherhood di Netflix.


Apabila menonton filem Fatherhood ini, kami dapat rasakan kesusahan, kerisauan dan dilema yang dihadapi Matthew akibat kematian mengejut isterinya. Sebagai bapa, pastinya beliau mengharapkan anak perempuan tidak merasa terpinggir disebabkan ketiadaan ibu, malah mengungkapkan sepatutnya beliau yang perlu mati dan bukan isterinya, kerana dia merasakan isterinya akan lebih pandai mengurus dan menjaga anak berbanding dirinya. Terdapat beberapa adegan juga yang mampu menjentik perasaan penonton, dan tak dinafikan kami sendiri bergenang air mata. Kevin Hart berjaya membawakan watak Matthew dengan cemerlang, suatu perkara yang amat berlainan dengan watak komedi yang selalu dilakonkannya dalam filem-filem terdahulu.


Filem Fatherhood berdasarkan kisah sebenar Matthew Logelin, seorang penulis, blogger, public speaker, dan aktivis kebajikan. Pada 2011, beliau menerbitkan buku Two Kisses for Maddy: A Memoir of Loss and Love, yang mengisahkan kehidupannya dalam membesarkan anak perempuan seorang diri selepas kematian mengejut isterinya. Sebelum dijadikan buku, eliau terlebih dahulu mengeluarkan kisah tersebut di blog peribadinya Matt, Liz and Madeline: Life and Death, All in a 27-Hour Period, yang menerima hit lebih 40,000 sehari pada tahun 2008. Pada 2009, Logelin mewujudkan The Liz Logelin Foundation, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga yang mempunyai anak yang kehilangan ibu atau bapa. 

Kami berikan 4.5/5 bintang untuk filem Fatherhood.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post