Susulan sambutan menggalakkan terhadap filem Mael Totey The Movie yang ditayangkan di saluran Astro First, ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan cuba mengaut untung mudah dengan menjual semula filem tersebut tanpa izin.


Terbaharu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberi amaran keras terhadap pihak yang terlibat dalam penyebaran filem Mael Totey The Movie melalui media sosial, laman e-dagang dan laman web tanpa lesen pengedaran yang sah, agar menghentikan kegiatan itu serta-merta.

CEO Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, dalam usaha memperkasa lesen pengedaran sah, pihaknya komited untuk bertindak tegas jika mendapati ada aktiviti penayangan menyalahi undang-undang berdasarkan Seksyen 22(1) Akta Finas 1981(Akta 244).

Mael Totey The Movie yang ditayangkan sejak 22 Oktober lalu berjaya meraih kutipan sebanyak RM4 juta dalam tempoh lapan hari tayangan menerusi Astro First.

Menelan belanja RM400,00, naskah itu adalah filem sulung YouTuber terkenal, Muhammad Syahmi Sazli atau Syahmi Sazli. Filem itu juga membariskan empat pelakon orang kurang upaya iaitu Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Ahmad Idham juga menyeru supaya tiada lagi pihak sewenang-wenangnya mengambil dan mengedar karya bukan milik mereka.

Seksyen 22(1) Akta Finas 1981 membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

KOMEN

Previous Post Next Post