Setiap hari sejak bermulanya penularan wabak Covid-19, sidang media Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham sentiasa dinantikan oleh rakyat Malaysia untuk mendengar perkembangan baharu tentang wabak tersebut. Terbaharu, buat pertama kalinya beliau telah membuat kemunculan di kaca televisyen sebagai figura animasi 3D bagi menyampaikan satu pesanan yang amat penting untuk seluruh rakyat Malaysia. Saksikan video pesanan khidmat masyarakat berkenaan di bawah : 


Video pesanan khidmat masyarakat yang bertajuk CAPP: Kuasa Untuk Lawan Covid-19, menampilkan wira animasi BoBoiBoy bersama Tan Sri Dr. Noor Hisham sebagai wira sanjungan rakyat Malaysia, yang sedang mengetuai usaha menghentikan penularan Covid-19 di Malaysia. Menerusi video itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menjadi adiwira tanpa memerlukan kuasa luar biasa untuk memerangi wabak COVID-19 dengan mengamalkan CAPP iaitu ‘CEGAH dari awal’, ‘AMALKAN norma baharu’, ‘PATUHI SOP’ dan ‘PANTAU status kesihatan’.


Video berdurasi 1 minit tersebut kini tular di pelbagai laman media sosial dengan lebih 150 ribu jumlah tontonan di akaun rasmi YouTube, Facebook dan Instagram BoBoiBoy dalam tempoh 24 jam. Video tersebut juga telah di Retweet hampir 30 ribu kali melalui Twitter BoBoiBoyKKM dan pengguna-pengguna lain. Rata-rata, pengguna laman sosial memuji kreativiti dan mesej yang ingin disampaikan oleh pihak KKM dan Monsta


Pesanan khidmat masyarakat itu merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Monsta dengan tujuan utama mendidik seluruh rakyat Malaysia tidak kira usia, agama atau bangsa untuk meningkatkan rasa tanggung jawab dalam melindungi diri, keluarga dan masyarakat bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang semakin meningkat dengan pertambahan kes baharu setiap hari.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post