Mamat Khalid Merancang Untuk Menghasilkan Filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah

Sambungan filem Hantu Kak Limah itu dijangka menampilkan Ogy Ahmad Daud sebagai pelakon utama

Filem Hantu Kak Limah mencatatkan kejayaan yang bukan sedikit di tahun 2018, dan mencatatkan kutipan yang memberangsangkan di pawagam. Kini pengarahnya, Mamat Khalid telah menunjukkan minat untuk menghasilkan filem terbaharu berdasarkan siri kisah filem Hantu Kak Limah, yang dikhabarkan bakal diberi tajuk Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah.

Gambar ihsan CinemaOnline

Menurut CinemaOnline, Khalid dipetik sebagai berkata, beliau berminat untuk memilih Ogy Ahmad Daud untuk melakonkan watak utama filem berkenaan, dan kini dalam proses memujuk aktres berkenaan.

Memetik kenyataan Mamat Khalid seperti mana yang dilaporkan oleh Harian Metro, beliau berkata,

"Saya belum menghubungi Ogy lagi kerana takut dan amat hormat kepadanya. Saya nampak dia yang paling sesuai untuk watak ini.

"Tujuan saya ambil Ogy kerana nak meminjam aura dan kemantapan lakonannya. Dia memang bagus dan saya nak jadikan karakter ini bermutu dan bukan saja-saja wujudkan.

"Saya sudah sediakan wakil untuk merisik Ogy dan apabila dia senang barulah saya nak pergi berjumpa dia," katanya.

Menurut Mamat, sekiranya Ogy tidak mahu berlakon dalam filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah, baharulah beliau akan membuka peluang kepada lain-lain aktres untuk menjalani sesi ujibakat untuk watak utama filem berkenaan. Buat masa ini, Ogy merupakan pilihan utamanya untuk filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah.

Mamat menyatakan filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah mengisahkan tentang Kak Roziah, yang merupakan seorang bidan kampung. Walau bagaimanapun, Mamat enggan mendedahkan lebih lanjut berkaitan filem berkenaan kerana masih terlalu awal di peringkat penghasilannya.

Selain filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah, Mamat kini juga dalam proses untuk menyiapkan skrip untuk projek terbaharunya, yang berkisarkan kepada muzik pop yeh yeh.

Post a Comment

Previous Post Next Post