Pelakon Utama Filem Avatar 2 Selesai Menjalani Penggambaran - Bakal Ditayangkan Pada 2020

Pengarah, James Cameron telah mengumumkan yang barisan pelakon utama filem terbaru Avatar telahpun selesai menjalani penggambaran mereka. Antara barisan pelakon utama itu termasuklah Sam Worthington, Zoe Saldana, Sigourney Weaver, Stephen Lang, dan Kate Winslet. Kerja-kerja seterusnya kini akan ditumpukan kepada kesan visual pula.



Memetik kenyataan Cameron (melalui JoBlo): “Today we’re capturing some stunt scenes, but our principle cast are all wrapped — Sam, Zoe, Sigourney, Stephen Lang, Kate Winslet — they’re done now but they gave us incredible performances, and I can’t tell you how proud I am of the work they did on these films.” 

Sambungan dari filem Avatar itu akan menampilkan kembali pelakon seperti Sam Worthington, Zoe Saldana, Joel David Moore, Dileep Rao, Stephen Lang, Matt Gerald dan Sigourney Weaver. Sebelum ini, Cameron ada menjelaskan yang watak lakonan Stephen Lang, iaitu Colonel Miles Quaritch akan kembali untuk keempat-empat filem sambungan Avatar dan akan menjadi penjahat utama untuk keseluruhan jalan cerita berkenaan. Penggambaran filem Avatar 2 dan Avatar 3 secara rasminya bermula pada 25 September 2017. Tidak lama selepas itu, James Cameron turut mengumumkan akan menampilkan barisan pelakon muda untuk filem sambungan Avatar, yang akan menampilkan keluarga Sully dan kanak-kanak etnik Metkayina Na’vi yang tinggal berdekatan terumbu karang, diketuai oleh Tonowari (Cliff Curtis). Satu-satunya pelakon yang akan tampil 'hidup' tanpa memainkan watak CGI adalah Jack Champion sebagai Javier “Spider” Socorro, remaja dari kalangan manusia yang dilahirkan di kompleks ketenteraan Hell’s Gate yang dapat dilihat dalam filem Avatar (2009) sebelum ini.

Sebelum ini, 20th Century Fox dan Lightstorm Entertainment mengumumkan tarikh tayangan filem Avatar 2 adalah pada 18 Disember 2020, disusuli filem Avatar 3 pada 17 Disember 2021, manakala filem Avatar 4 akan ditayangkan pada 20 Disember 2024, dan filem Avatar 5 akan ditayangkan pada 19 Disember 2025. Walau bagaimanapun, Cameron menyatakan sekiranya filem Avatar 2 dan filem Avatar 3 tidak berjaya, kemungkinan beliau tidak akan meneruskan perancangan untuk filem Avatar 4 dan Avatar 5.

Ditayangkan pada 2009, filem Avatar kekal sebagai filem yang mencatatkan kutipan paling tinggi di seluruh dunia dengan kutipan sebanyak lebih USD2.7 billion. Sebagai perbandingan, filem Titanic adalah pemegang rekod terdahulu dengan kutipan sebanyak USD2.186 billion.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post