Pulau Langkawi Disebut Dalam Siri TV Star Trek: Discovery?

Nama Malaysia sekali lagi meniti di bibir peminat siri Star Trek apabila nama Pulau Langkawi disebut dan disahkan sebagai tempat membesar watak Captain Philippa Georgiou dalam siri TV Star Trek Discovery.



Watak Georgiou dimainkan oleh pelakon kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh.

Nama Pulau Langkawi disebut semasa dialog perbualan dalam siri akhir musim pertama siri TV berkenaan, di mana watak Georgiou menyatakan kepada watak utama siri berkenaan iaitu Michael Burnham (Sonequa Martin-Green) yang dia membesar di Langkawi, dan Burnham membalas dengan menyatakan Langkawi mempunyai "pantai-pantai yang cantik".

Satu video dialog berkenaan telah dimuatnaik di Facebook oleh Muhammad Izsam yang kini telah tular di laman sosial berkenaan dengan 5,489 perkongsian sejak Selasa lalu.

Ini bukanlah kali pertama nama Malaysia dikaitkan dengan watak dalam siri Star Trek, kerana Malaysia pernah disebut dalam satu episod siri Star Trek: Enterprise, yang ditayangkan dari September 2001 hingga Mei 2005.

Dalam episod ke-12, musim pertama siri Star Trek: Enterprise, ada dinyatakan yang ibubapa kepada watak Malcolm Reed (Dominic Keating) tinggal di Kota Baru, Kelantan.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post