Selaku penggemar komik dari Marvel dan DC, filem Guardians Of The Galaxy adalah antara filem yang kami tunggu-tunggu tahun ini. Walaupun jalan ceritanya terlalu asing bagi kami, tapi ia tetap tidak mengurangkan keterujaan kami menantikan tayangan filem yang tersenarai dalam Marvel Cinematic Universe ini.


Jalan Cerita : Filem superhero lain daripada yang lain ini mengisahkan gabungan penjenayah yang dikehendaki dalam galaksi iaitu Peter Quill/ Star-Lord, Gamora, Groot, Rocket Raccoon dan Drax the Destroyer. Mereka yang pada mulanya daripada latar belakang dan tujuan hidup yang berbeza, akhirnya bersatu menentang kejahatan apabila berhadapan dengan Ronan, si fanatik bangsa Kree yang dahagakan kemusnahan dan bekerja untuk Thanos, yang mana wataknya muncul dalam end credit filem The Avengers.

Kesan Khas : Filem yang menampilkan watak di angkasa lepas sudah tentulah penuh dengan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI). Dan dengan teknologi yang ada sekarang ini membolehkan persekitaran seperti Xandar dan Knowhere, juga galaksi yang luas ditampilkan dengan cantik. Kesan khas menarik juga ditampilkan sewaktu pertarungan antara tentera Ronan dari kapal Dark Aster miliknya dengan tentera Nova Corps.


Groot dan Rocket : Dua watak ini ditampilkan mempunyai hubungan yang akrab. Walaupun pada awalnya ramai tertunggu-tunggu watak Rocket ditampilkan, tetapi apabila ditayangkan, lebih ramai penonton tertarik dengan watak Groot (disuarakan oleh Vin Diesel), walaupun hanya menyebut satu baris ayat “I Am Groot” sahaja yang diulang-ulang sepanjang filem ini ditayangkan.

Awesome Mixtape Vol. 1 : Sudah pastinya soundtrack filem ini menjadi sebutan selepas menonton filem ini. Kami sendiri pun telah cuba mencari senarai lagu yang lengkap untuk kesemua lagu yang  dimainkan dalam filem ini. Kami sendiri dapat memahami perkaitan Walkman dan lagu-lagu dalam mixtape milik Star-Lord kerana kami juga membesar dengan kenangan tersebut. Mungkinkah penghasilan mixtape akan kembali menjadi trend selepas menonton filem ini?


Thanos : Selepas muncul di hujung filem The Avengers, kemunculan Thanos sudah tentunya dinantikan dalam filem. Dan penampilan Thanos di atas 'takhta'nya dalam filem ini dengan dialog yang dituturkan sudah tentunya mengujakan ramai peminat komik Marvel.


Keseluruhannya, filem ini amat baik walaupun watak dan jalan ceritanya amat asing bagi kami. Ianya baik, tapi tak cukup baik untuk menyaingi filem superhero yang lain.


Kami berikan 3.5/5 bintang untuk filem Guardians Of The Galaxy.

1 Comments

  1. bagi aku filem ini memang best bagi genre sci-fi. Memang xrugi tgok..

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post