Filem The Old Guard 2 tampil sebagai kesinambungan kepada kejayaan filem pertama, namun gagal mengulangi kekuatan yang sama. Dari segi jalan cerita, filem ini cuba membawa penonton ke fasa baharu apabila Andy kini hidup sebagai manusia biasa. Kehadiran watak antagonis baharu lakonan Uma Thurman sepatutnya menambah konflik, tetapi penceritaan yang bercelaru dan dipenuhi teori yang tidak dikembangkan dengan baik membuatkan naratif terasa lemah dan tidak berfokus.

Aspek aksi di awal filem The Old Guard 2 masih menghiburkan, dengan babak pergaduhan di vila Itali serta adegan kejar-mengejar yang cukup mendebarkan. Malangnya, momentum ini tidak kekal. Aksi semakin berkurang dan digantikan dengan dialog panjang yang meleret, sekali gus menjejaskan tumpuan serta keterujaan penonton.

Dari sudut watak, Andy masih menjadi teras utama. Perubahan statusnya daripada abadi kepada manusia biasa sepatutnya membuka ruang dramatik yang besar, namun konflik dalaman ini tidak dikupas secara mendalam. Walaupun begitu, Charlize Theron tetap memberi persembahan bertenaga yang mengekalkan relevansi watak ini.

Quỳnh, yang muncul sebagai kejutan pada penghujung filem pertama, dilihat terpinggir dalam filem The Old Guard 2 ini. Hubungan beliau dengan Andy tidak dikembangkan dengan baik, malah kelihatan tergesa-gesa, menyebabkan kemunculan semulanya tidak memberi impak besar. Watak Nicky dan Joe pula hanya sekadar penyokong cerita, manakala Booker pula sekali lagi diketepikan walaupun berpotensi untuk berkembang.

Copley, yang dijangka membawa arah baharu selepas filem pertama, sekadar menjadi latar tanpa sumbangan besar kepada jalan cerita filem The Old Guard 2. Watak antagonis Discord lakonan Uma Thurman pula hadir dengan karisma, namun penulisannya terlalu dangkal. Watak ini tidak pernah benar-benar mencabar kumpulan abadi, menjadikannya sekadar kemunculan sampingan yang tidak dimanfaatkan.

Watak baharu Tuah (lakonan Henry Golding) memperkenalkan dimensi menarik dalam filem The Old Guard 2 ini. Beliau digambarkan sebagai sahabat lama Andy serta penjaga arkib sejarah para abadi. Peranannya berfungsi sebagai mentor dan sumber pengetahuan yang membantu kumpulan memahami misteri baharu mengenai keabadian. Nama Tuah jelas diinspirasikan daripada legenda pahlawan Melayu, Hang Tuah, yang melambangkan kesetiaan dan keberanian. Dari sudut simbolik, kehadiran watak ini memberi nilai budaya yang jarang diketengahkan dalam filem aksi antarabangsa. Namun begitu, walaupun watak Tuah memperkayakan lore siri ini, pengembangannya tidak cukup mendalam. 

Secara keseluruhan, kelemahan terbesar filem The Old Guard 2 ialah kegagalannya memanfaatkan barisan watak yang kaya dengan potensi. Hubungan antara mereka tidak diperluas, konflik peribadi tidak diteroka, manakala watak baharu gagal memberi kesan. Hasilnya, meskipun para pelakon memberi komitmen tinggi, watak-watak ini terasa kaku dan tidak meninggalkan impak mendalam.

Kesimpulannya, filem The Old Guard 2 ini masih mempunyai potensi dan menawarkan beberapa adegan yang menarik, tetapi kelemahan dari segi penulisan, pembangunan watak dan pacing menjadikannya sekuel yang hambar. Jika filem pertama segar dan penuh tenaga, yang kedua ini lebih menimbulkan kekecewaan. Mungkin filem sambungan selepas ini akan menjawab banyak persoalan yang tergantung dalam filem ini.

PENILAIAN: 3/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Terbaru Lebih lama