Kami telahpun menonton filem aksi tempatan, Blood Brothers: Bara Naga (2025) di Netflix, dan ini adalah review filem Blood Brothers: Bara Naga dari kami.
Filem Blood Brothers: Bara Naga mengangkat kisah dua sahabat yang pada awalnya rapat seperti adik-beradik, namun terpisah akibat pengkhianatan dan hasad dengki. Pertemuan semula mereka membuka kembali luka lama, tetapi apa yang menjadikan filem ini benar-benar menonjol adalah cara ia menyingkap sisi sebenar watak yang pada awalnya dianggap paling setia.
Seawal babak pertama, penonton mudah bersimpati dengan watak tersebut – digambarkan sebagai penyelamat, pendengar dan paling memahami konflik sahabatnya. Namun, semakin cerita bergerak, lapisan demi lapisan watak itu mula terbongkar. Di sebalik wajah tenang, sebenarnya dialah punca tragedi silam, pengkhianat yang menyalakan api permusuhan. Plot twist ini bukan sahaja mengejutkan, malah membuatkan kita menilai semula setiap babak terdahulu. Rasa marah dan kecewa yang timbul adalah bukti betapa kuatnya penulisan skrip dan lakonan yang diberikan.
Dari segi penceritaan, filem Blood Brothers: Bara Naga berjaya mengekalkan pace yang konsisten. Setiap babak ada tujuan – sama ada untuk menguatkan ketegangan atau memberikan petunjuk halus kepada kebenaran yang bakal terbongkar. Visual yang suram dengan tona warna gelap menambah lagi suasana tegang, seolah-olah menggambarkan dunia watak-watak ini yang penuh kepura-puraan dan dendam.
Babak aksi dan pertarungan harus mendapat pujian tertinggi dalam filem Blood Brothers: Bara Naga ini. Ternyata babak aksi dan pertarungan yang ditampilkan menyebabkan penonton tak senang duduk. Tidak kerterlaluan jika dikatakan babak aksi yang ditampilkan setanding dengan filem-filem luar.
Lakonan pelakon utama adalah antara kekuatan terbesar filem Blood Brothers: Bara Naga. Hubungan yang pada mulanya kelihatan ikhlas bertukar menjadi penuh manipulasi. Chemistry yang meyakinkan menjadikan plot twist lebih berkesan, kerana kita benar-benar percaya kepada persahabatan yang terjalin – sehingga saat pengkhianatan didedahkan.
Kami sangat-sangat kagum dan memuji 2 watak dalam filem ini, iaitu Jaki (lakonan Syazwan Zulkifly) dan Fadlan (lakonan Shukri Yahaya). Kemunculan Jaki dalam setiap babak berjaya menampilkan elemen bersahaja dan comic relief, manakala kemunculan Fadlan pula menimbulkan kebencian mendalam dan dendam kesumat yang membara. Shukri Yahaya yang selalu ditonton biasa melakonkan watak-watak selamat dan cliche, tampil bergaya dalam filem ini melakonkan watak si kejam tiada belas kasihan yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa.
Secara keseluruhan, filem Blood Brothers: Bara Naga adalah naskhah yang bijak, penuh emosi, dan meninggalkan kesan selepas ditonton. Twist watak yang kelihatan baik tetapi sebenarnya gunting dalam lipatan menjadikan filem ini lebih daripada sekadar drama jenayah biasa. Ia adalah cerita tentang persahabatan, kepercayaan, dan harga yang perlu dibayar untuk sebuah pengkhianatan.
PENILAIAN: 5/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.






Catat Ulasan