Selepas 18 hari ditayangkan di pawagam, filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria terus mencipta sejarah apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM50.7 juta, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi setakat ini. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan sokongan padu penonton Malaysia terhadap karya tempatan, tetapi juga menandakan kematangan industri animasi negara yang semakin mengorak langkah ke hadapan.

Untuk rekod, filem pertama Ejen Ali The Movie: Misi Neo yang ditayangkan pada tahun 2019 mencatat kutipan sebanyak RM30.05 juta. Ia diikuti oleh Mechamato Movie (2022) yang berjaya mengutip RM35.88 juta. Kini, dengan angka RM50.7 juta, Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria jauh meninggalkan pesaingnya dan mengukuhkan kedudukan sebagai filem animasi tempatan nombor satu. Malah, filem ini kini berada di tangga kedua untuk kutipan tertinggi bagi filem animasi di Malaysia secara keseluruhan — di belakang filem Ne Zha 2 dari China.

Kejayaan luar biasa ini turut didorong oleh pelbagai faktor. Dari segi naratif, gabungan elemen aksi-perisik, emosi kekeluargaan dan nilai-nilai persahabatan menjadikan filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria menarik untuk tontonan semua peringkat usia. Kualiti animasi yang ditampilkan oleh WAU Animation juga wajar dipuji — dari reka bentuk watak hingga koreografi aksi yang mantap, semuanya menunjukkan peningkatan ketara berbanding filem terdahulu. Kerjasama strategik dengan Primeworks Studios dalam aspek promosi dan pengedaran turut membantu meningkatkan jangkauan penonton ke seluruh negara.

Dari segi tayangan antarabangsa, filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria telah pun memulakan tayangan di Singapura pada 5 Jun 2025, dan bakal memasuki pasaran Indonesia pada 27 Jun 2025 nanti. Filem ini juga sedang diteroka untuk pasaran lain seperti Brunei, Kanada, dan Australia — satu langkah besar untuk industri animasi Malaysia dalam mengembangkan pengaruhnya di peringkat serantau dan global.

Kini, tumpuan tertumpu kepada sama ada filem ini mampu melangkaui paras RM60 juta dalam minggu-minggu mendatang. Apa yang pasti, filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria bukan sekadar sebuah filem animasi — ia adalah lambang kejayaan kreativiti tempatan, hasil kerja keras anak-anak Malaysia yang membuktikan bahawa kita juga mampu menghasilkan karya bertaraf antarabangsa.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post