Filem live-action Naruto bakal dihasilkan?

Begitulah nampaknya, selepas beberapa tahun pengumuman rasminya, apabila dimaklumkan yang Lionsgate telahpun menemui penulis skrip yang sesuai untuk menyiapkan filem live-action Naruto.

Dalam artikel yang diterbitkan oleh portal Variety, penulis skrip Tasha Huo telah 'bersedia' untuk menjadikan filem live-action Naruto sebagai projek terbaharunya. Sebelum ini Huo terlibat menulis skrip untuk beberapa episod The Witcher: Blood Origin dan satu episod siri animasi Netflix yang diadaptasi dari permainan video Tomb Raider: The Legend of Lara Croft. Dia juga kini merupakan salah seorang penulis filem Red Sonja yang akan datang.

Pertama kalinya diumumkan pada 2015, masih tidak banyak pendedahan dibuat tentang projek filem live-action Naruto, yang membuatkan para peminat setia manga dan anime berkenaan tertanya-tanya.

Naruto merupakan siri manga dan anime yang dicipta oleh Masashi Kishimoto. Manga ini membuat penampilan sulungnya dalam Weekly Shonen Jump pada September 1999 dan diterbitkan sehinggalah November 2014.

Siri Naruto mengisahkan tentang pengembaraan seorang ninja muda bernama Naruto Uzumaki dan usaha kerasnya untuk menjadi Hokage, menentang ninja jahat yang mengancam keselamatan kampung, Konoha — dan mengetepikan pandangan serong masyarakat yang menganggapnya sebagai ancaman kerana menyimpan kuasa pemusnah rubah berekor sembilan (Kyuubi) bernama Kurama dalam dirinya. Siri ini mencapai populariti mengagumkan di seluruh dunia, dan telah menghasilkan beberapa filem, permainan video dan banyak lagi.



KOMEN ANDA

Previous Post Next Post