Kami telahpun menonton filem yang membawakan nostalgia kepada kami, iaitu Indiana Jones and the Dial of Destiny (2023), dan ini adalah review filem Indiana Jones and the Dial of Destiny dari kami.

Selepas filem terakhir iaitu Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull (2008) yang menerima sambutan agak dingin, filem kelima (dan mungkin terakhir) Indiana Jones, iaitu Indiana Jones and the Dial of Destiny ini kembali menampilkan Harrison Ford melakonkan salah satu watak ikonik yang menaikkan namanya. Kali ini, filem Indiana Jones and the Dial of Destiny lebih menyajikan watak Indy sebagai satu penutup sempurna untuk watak berkenaan. 

Penampilan Harrison Ford di awal filem ini yang dinyah-usia kelihatan sangat realistik, menarik menonton untuk 'segar' kembali dengan watak Indiana Jones yang dikenali sejak sekian lama. Sekali lagi, beliau berhadapan dengan situasi kejar mengejar dengan tentera Nazi, merungkai sejarah untuk merebut alat ciptaan Archimedes dikenali sebagai Antikythera yang boleh mengesan geseran masa, yang memungkinkan perjalanan merentas masa. Berjayakah Indy mengelakkan Antikythera berkenaan dari jatuh ke tangan tentera Nazi, diketuai saintis Jerman bernama Jürgen Voller (lakonan Mads Mikkelsen)? Jangan lupa saksikan filem Indiana Jones and the Dial of Destiny di pawagam berhampiran.

Bagi kami yang membesar dengan filem Indiana Jones, filem kelima ini ternyata menjentik nostalgia. Siri filem dan watak Indiana Jones itu sendiri boleh diibaratkan sebagai hero dambaan suatu ketika dahulu, sebaris dengan watak seperti James Bond dan Bruce Wayne. 

Filem Indiana Jones and the Dial of Destiny memberikan perasaan penonton seperti mana filem-filem awal Indiana Jones, seakan menebus 'kesilapan' dilakukan dalam filem Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull dengan elemen makhluk asing dan UFO yang kelihatan out of place. Filem Dial of Destiny kelihatan lebih dekat dengan penontin yang membesar dengan filem-filem awalan, membawa penonton ke dalam lipatan sejarah silam yang masih boleh dicerna akal, walaupun bermain dengan elemen merentas masa.

Secara keseluruhannya, kami berasa puas menonton filem Indiana Jones and the Dial of Destiny ini. Ternyata filem ini, yang kelihatannya seperti filem terakhir Indy, memungkinkan ianya menjadi filem yang memberikan keadilan kepada watak Indiana Jones untuk ditamatkan. Dan mungkin inilah pengakhiran satu era filem di mana watak sebegini diangkat sebagai watak utama filem, yang bukan hanya berbekalkan badan sasa dan pakaian kemas semata-mata.

PENILAIAN: 4/ 5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post