Di acara Star Wars Celebration yang berlangsung di London pada semalam, Lucasfilm telah mengumumkan penghasilan dua filem baharu Star Wars!

Pengarah filem, Dave Filoni dan James Mangold telah diumumkan akan terlibat dalam penghasilan dua filem baharu Star Wars secara berasingan. Buat masa ini, masih belum diumumkan tajuk rasmi untuk dua filem baharu berkenaan, namun penerbit telah memberikan bayangan yang Mangold akan mengarahkan filem berkaitan kemunculan awal Jedi, manakala Filoni pula akan mengarahkan filem berkaitan latar dunia di zaman New Republic, menggabungjalinkan kisah-kisah dari siri Disney+ seperti The Mandalorian, The Book of Boba Fett, dan siri akan datang Ahsoka. Dikhabarkan juga yang satu filem stand-alone berkisarkan watak Rey Skywalker turut akan dihasilkan!

Filoni dan Mangold bukanlah nama asing kepada Disney. Filoni sebagai contoh, memulakan kariernya di Lucasfilm Animation dalam projek siri animasi Star Wars: The Clone Wars. Terkini, Filoni terlibat dalam beberapa projek Star Wars, termasuklah siri animasi Star Wars: The Bad Batch dan siri Disney+ Ahsoka. Manakala Mangold pula sebelum ini bekerjasama dengan Hugh Jackman mengarahkan filem The Wolverine dan Logan. Terkini, Mangold bekerjasama dengan Lucasfilm untuk menghasilkan filem kelima Indiana Jones, iaitu Indiana Jones and the Dial of Destiny.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post