Dalam satu tindakan yang agak mengejutkan, kerajaan negeri Terengganu dilaporkan telah mengharamkan penayangan filem tempatan, Pulau di pawagam di negeri tersebut.

Menurut penerbit filem Pulau, Fred Chong, tindakan berkenaan dimaklumkan kepadanya oleh FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) memaklumkan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan penayangan filem Pulau di negeri itu. Surat pemakluman pengharaman itu juga turut dihantar kepada pihak pawagam TGV yang memiliki tiga pawagam utama di Terengganu. Tambah Fred lagi;

Pihak TGV menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman pada 9 Februari supaya filem Pulau tidak ditayangkan di tiga pawagam itu di sana. Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Susulan tindakan berkenaan juga, Fred memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat rayuan dan mencadangkan supaya pihak terbabit menonton dan menilai terlebih dulu filem Pulau sebelum membuat keputusan. Menurut Fred;

Saya sudah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu dan mencadangkan kepada mereka, untuk saya ke sana bersama wakil dari TGV serta FINAS, dan menayangkan filem itu kepada mereka. Dari situ, mereka sendiri boleh menilai sama filem itu sesuai ditayangkan atau tidak kerana filem ini sudah mengikut prosedur penapisan yang sepatutnya.

Sekiranya tindakan pengharaman in turut diikuti oleh negeri lain, sudah tentunya ia akan menjejaskan kutipan keseluruhan filem Pulau nanti.

Sebelum ini, kontroversi telahpun melanda filem Pulau, apabila treler rasmi yang dikongsikan di Youtube telah diselar oleh netizen kerana memaparkan aksi yang tidak selaras dengan norma tempatan. Menurut Fred, treler filem Pulau  tidak menggambarkan keseluruhan jalan cerita, malah beliau sendiri telah bersetuju untuk memotong beberapa adegan yang difikirkan tidak sesuai dengan masyarakat tempatan. 


Disebabkan kontroversi itu sahaja, Fred mendedahkan yang pihaknya berdepan dengan kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila pihak penaja menarik balik tajaan mereka berjumlah hampir RM500,000 untuk filem berkenaan. Tambahnya lagi, RM4 juta telah dibelanjakan untuk menghasilkan filem Pulau, dan mereka tidak mempunyai bajet lain untuk mempromosikan filem berkenaan.


Sebagai penerbit filem, Fred menyeru penonton untuk menonton sendiri filem Pulau, dan menilai kualiti cerita yang ingin disampaikan dalam filem berkenaan. Tambahnya lagi, tidak adil untuk menghukum filem tersebut terlalu awal, kerana akan memberi kesan kepada pelakon dan krew yang terlibat dalam penghasilan filem Pulau. Tambah Fred;
Kita bangga apabila Michelle Yeoh diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Komedi/Muzikal, Anugerah Golden Globe baru-baru ini. Tetapi, filem tempatan pula diketepikan di negara sendiri sebelum terlebih dahulu ditonton. Jadi, macam mana filem tempatan ingin terus mengorak langkah ke persada dunia?
Filem Pulau dibarisi pelakon seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Joey Leong, Sanjna Suri, Ms PuiYi dan ramai lagi, dan dijadualkan untuk tayangan di pawagam pada 9 Mac 2023 ini.
o be shown in 75 cinemas across the country.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post