Akhirnya, selesailah siri Disney+ Obi-Wan Kenobi Musim 1, apabila episod ke-6 siri tersebut ditayangkan pada minggu lepas. Dan di sini, kami rangkumkan ulasan Obi-Wan Kenobi Musim 1.


Walaupun siri ini menggunakan nama Obi-Wan Kenobi, namun kami merasakan sebenarnya siri ini memberikan justice kepada beberapa watak dari trilogi filem terdahulu, terutamanya untuk watak Anakin Skywalker/ Darth Vader, yang mana kali ini dilakonkan semula oleh Hayden Christensen! Ya, beliau kembali ke watak itu dan disambut gembira oleh para peminat Star Wars, walaupun penampilan awalnya dalam trilogi filem terdahulu (terutamanya dalam filem Star Wars Episode II - Attack of the Clones, dan Star Wars Episode III - Revenge of the Sith) dikritik hebat oleh peminat Star Wars sendiri! Pelik kan? Penampilan watak Darth Vader kali ini menyerlahkan sisi ganasnya dan tiada belas kasihannya dalam episod di awal musim pertama ini, dan memperlihatkan dendam yang disimpannya terhadap Obi-Wan Kenobi, yang disifatkannya bertanggungjawab dan punca kematian isterinya, Padme dan juga punca dia menjadi cacat dan terpaksa memakai sut robotik sepanjang hayat. Sudah tentunya penampilan watak Darth Vader paling ditunggu-tunggu oleh peminat Star Wars.

Selepas kejadian di penghujung filem Star Wars Episode III - Revenge of the Sith, Obi-Wan menyembunyikan diri dan menukar namanya kepada Ben. Menganggap dirinya satu kegagalan, beliau mengasingkan diri dan tidak bergaul dengan orang lain untuk mengelakkan dari dikesan. Dia juga tidak lagi menggunakan kuasa the Force, selain hanya memantau Luke dari jauh, yang kini dijaga oleh bapa dan ibu saudaranya di planet Tatooine. Walau bagaimanapun, Obi-Wan Kenobi terpaksa keluar dari persembunyian apabila Leia (lakonan pelakon cilik Vivien Lyra Blair) diculik dalam usaha untuk memaksa Obi-Wan Kenobi keluar dari persembunyian. Kami amat suka dengan dinamik perhubungan antara Obi-Wan Kenobi dan Leia dalam musim pertama ini.


Walau bagaimanapun, kami merasakan watak Grand InquisitorThird Sister dan Fifth Brother tidak 'kuat' dan hanyalah sub-plot untuk memanjangkan jalan cerita. Kami hampir tidak mengenali Sung Kang yang melakonkan watak Fifth Brother di sebalik sut yang dikenakan dan suara watak berkenaan. Malahan, watak Third Sister pula rupa-rupanya adalah seorang Jedi youngling yang terselamat dalam kejadian di Jedi Temple ketika pelaksanaan Order 66 juga pada kami hanyalah sekadar lazy writing untuk mengaitkan watak-watak dalam siri ini. 


Kemuncak Obi-Wan Kenobi Musim 1 ini sudah tentunya babak pertarungan akhir antara Obi-Wan Kenobi dan Darth Vader di episod 6. Obi-Wan berjaya merosakkan topeng Anakin, menyerlahkan buat pertama kalinya wajah terbaharu Anakin selepas bertukar menjadi Darth Vader. Dihantui rasa bersalah, Obi-Wan meminta maaf kepada Anakin. Walau bagaimanapun, jawapan dari Anakin mengejutkan Obi-Wan:

Anakin's gone. I am what remains. I am not your failure, Obi-Wan. You didn't kill Anakin Skywalker. I did.

Adegan ini memberikan impak yang besar dan membawa 'berat' untuk keseluruhan episod dalam Musim 1 itu. Ianya seolah mengesahkan kepada Obi-Wan yang sebenarnya Anakin telah mati, dan yang ada di hadapannya adalah entiti lain bergelar Darth Vader. Disebabkan itu, Obi-Wan telah menemui 'kedamaian' dalam dirinya, dan mendapat semula kekuatannya sebelum ini untuk mengalahkan Darth Vader. Adegan ini diolah dengan amat baik kerana selain adegan perlawanan lightsaber yang mendebarkan, ianya juga mendatangkan impak emosi kepada penonton apabila mendengar perubahan suara yang berubah-ubah antara suara sebenar Anakin, dan suara sintetik/ robotik Darth Vader apabila topengnya dirosakkan oleh Obi-Wan.


Sekali lagi, Obi-Wan Kenobi Musim 1 ini berakhir dengan fan service untuk peminat Star Wars, apabila Qui-Gon Jinn (lakonan Liam Neeson) tampil semula dalam bentuk Force Ghost. sesuatu yang amat dinantikan oleh peminat Star Wars sebelum ini. 

Akan adakah Obi-Wan Kenobi Musim 2 nanti? Sama-sama kita nantikan.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post