Filem Scream (2022) ini merupakan filem ke-5 dalam francis filem Scream, namun hanya menggunakan nama Scream sebagai tajuk filemnya. Dan terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia kerana menjemput kami untuk sesi tayangan bersama media untuk filem Scream ini.


Dalam filem Scream, sekali lagi seorang pembunuh yang mengenakan pakaian hitam dan topeng Ghostface telah muncul di pekan Woodsboro, dan telah menyerang seorang remaja bernama Tara ketika dia bersendirian di rumahnya. Kejadian mengejutkan itu telah memaksa kakak Tara, iaitu Sam untuk kembali ke pekan tersebut ditemani teman lelakinya, iaitu Richie, untuk melawat dan menemani Tara di hospital. Di hospital, penonton diperkenalkan pula dengan watak-watak lain yang merupakan rakan kepada Tara iaitu Amber Freeman, Chad dan Mindy Meeks-Martin, dan Liv McKenzie. Keadaan yang mulanya tenang, menjadi kelam kabut apabila satu demi satu penduduk diserang dan dibunuh oleh Ghostface.


Disebabkan terdesak, kesemua mereka terpaksa mengejar masa untuk membongkar identiti sebenar Ghostface sebelum kesemua mereka menjadi mangsa pembunuhan. Apatah lagi bila ada yang mengesyaki berkemungkinan salah seorang di kalangan mereka adalah sebenarnya pembunuh yang memakai topeng Ghostface tersebut! Dapatkah mereka membongkar misteri pembunuh sebenar yang berselindung di sebalik topeng Ghostface? Jangan lupa tonton filem Scream di pawagam!


Sejujurnya, kami bukanlah peminat filem seram mahupun filem slasher seperti Scream ini, tapi rupa-rupanya boleh layan juga filem ini! Walaupun ada di antara adegan dalam filem Scream ini adalah sangat tipikal untuk filem seram (dan boleh dijangka), tetapi banyak juga adegan yang tidak dijangka, dan juga ada beberapa twist yang mengejutkan. 

Filem Scream diarahkan oleh Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett, dan dibarisi oleh pelakon baharu seperti Melissa Barrera, Mason Gooding, Jenna Ortega, dan Jack Quaid, selain turut menampilkan pelakon dari siri filem Scream terdahulu seperti Marley Shelton, Courteney Cox, David Arquette, dan Neve Campbell. 

Kami berikan 4.3/5 bintang untuk filem Scream.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post