Bright mengisahkan tentang tiga bangsa berbeza iaitu manusia, Elf dan Orc yang hidup bersama, namun dengan pelbagai masalah dan cabaran. Peperangan antara ketiga-tiga bangsa tersebut yang berlangsung 2,000 tahun lalu, telah menyebabkan timbulnya kebencian dan ketegangan antara mereka. Filem Bright berkisarkan watak dua orang anggota polis, iaitu Scott Ward (seorang manusia, lakonan Will Smith) dan Nick Jakoby (dari bangsa Orc, lakonan Joel Edgerton). Mereka dalam pasukan yang sama, bertugas di bandar Los Angeles yang dihimpit isu ketegangan kaum akibat ketiga-tiga bangsa tersbut yang tidak bersatu. 


Filem Bright menggambarkan Elf sebagai golongan kaya dan tergolong dalam status sosial yang tinggi, manakala Orc pula merupakan golongan kelas bawahan, di mana manusia berada di tengah-tengah. Jakoby merupakan satu-satunya Orc dalam pasukan polis LA, di saat semua bangsa Orc lain digambarkan sering terlibat dalam jenayah dan disisihkan masyarakat. Jakoby sendiri dicop sebagai pengkhianat bangsa oleh Orc yang lain kerana dilihat bersekongkol dan bekerjasama dengan manusia, iaitu Ward. 

Konflik timbul apabila muncul Magic Wand, sebuah alat yang mampu memberikan kuasa magik kepada pemakainya. Namun, hanya indididu tertentu, digelar Bright sahaja yang boleh menggunakan kuasa Magic Wand itu. Secara tidak sengaja, Ward dan Jakoby terheret sama dalam perebutan untuk mendapatkan Magic Wand. Sekiranya tidak berhati-hati, Magic Wand tersebut boleh jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab dan boleh mendatangkan malapetaka.


Naratif filem Bright ini tidak banyak berbeza dengan formula filem biasa, malah mungkin jua terkait dengan realiti dunia sekarang ini yang membezakan manusia dari segi darjat, paras rupa, warna kulit dan latar belakang hidup. Elemen polis terpalit rasuah juga selalu ditonjolkan dalam filem, dan tiada bezanya dengan filem Bright. Bezanya dalam filem ini, elemen perkauman digantikan dengan 3 bangsa yang berbeza, iaitu manusia, Elf dan Orc yang mempunyai hierarki tersendiri. 

Di pertengahan jalan cerita, kami masih agak kabur dengan jalan cerita filem ini. Watak-watak yang tidak dikembangkan dengan baik, selain terlalu memfokus kepada Magic Wand, menyebabkan penonton tertanya-tanya, apa hebatnya Magic Wand sehingga menjadi rebutan semua pihak, sehinggakan berlaku banyak pertumpahan darah disebabkan Magic Wand tersebut. Walaupun bermain dengan elemen magik, dan meletakkan Will Smith sebagai pelakon utama, filem ini boleh dikatakan perlahan dari segi membina keterujaan penonton untuk mengetahui penyudahnya.

Berjayakan Ward dan Jakoby menyelamatkan keadaan dan mengelakkan Magic Wand tersebut dirampas oleh pihak tak bertanggungjawab? Jangan lupa tonton filem Bright di Netflix.

Kami berikan penilaian 3/5 untuk filem Bright.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post