Filem-filem arahan pengarah prolifik negara, Yasmin Ahmad kini boleh ditonton di saluran penstriman Netflix, apabila gergasi penstriman itu menyenaraikan 3 buah filem arahan Yasmin dalam senarai tayangannya bermula 18 Disember ini. Yasmin meninggal dunia akibat angin ahmar pada Julai 2009 ketika berumur 51 tahun.

Tiga buah filem arahan Yasmin tersebut adalah Rabun (2003), Mukhsin (2007) dan Talentime (2009).


Rabun yang merupakan filem pertama arahan pengarah tersebut, mengisahkan tentang pasangan warga emas, (lakonan M. Rajoli dan Kartina Aziz) yang kembali ke kampung untuk menghabiskan sisa kehidupan mereka selepas menghabiskan usia mereka tinggal di bandar. Yasmin menyatakan kedua-dua watak tersebut merupakan bayangan kepada kedua-dua ibu bapanya sendiri.

Filem Mukhsin (2007) pula ditayangkan selepas tayangan filem Sepet (2004) dan Gubra (2006). Ketiga-tiga filem ini berkisarkan watak Orked (lakonan Sharifah Aryana) dan kisah percintaanya dengan Mukhsin (lakonan Mohd Syafie Naswip).

Manakala Talentime (2009) pula mengisahkan tentang kisah kekeluargaan dan persahabatan yang digabungjalin dalam satu pertandingan ujibakat di sebuah sekolah. Filem ini ditayangkan tidak lama sebelum Yasmin menghembuskan nafas terakhirnya.

Filem arahan Yasmin Ahmad amat dekat di hati rakyat Malaysia kerana kerap menonjolkan kisah yang jarang dan tidak pernah ditampilkan dalam filem-filem tempatan, dengan watak-watak yang dekat di hati penonton. Selain filem, Yasmin juga aktif menghasilkan iklan-iklan musim perayaan untuk syarikat korporat yang sering mencuri hati rakyat Malaysia.

Sumber dari The Star

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post