Dalam satu siaran media, Enfiniti (M) Sdn. Bhd. melaporkan mereka bakal menayangkan semula filem epik terbitannya yang telah memenangi pelbagai anugerah di dalam dan di luar negara, Puteri Gunung Ledang (PGL) versi Rilis Teater Asal Berformat Digital SECARA LANGSUNG dalam talian di platform penstriman video EnfinitiV.Asia selama 10 hari mulai Jumaat, 13 November hingga Ahad, 22 November 2020.


Tayangan khas potongan asal 145 minit garapan pengarah tersohor Saw Teong Hin ini turut mengandungi beberapa adegan yang telah dipotong dan dokumentari khas "Di Sebalik Tabir Pembikinan Puteri Gunung Ledang". Ini berikutan sambutan luar biasa sewaktu tayangan filem tersebut dari versi Producer's Cut berdurasi 115 minit yang telah disiarkan di platform video YouTube pada 10 Oktober bagi meraikan hari ulang tahun Enfiniti. Tayangan eksklusif tersebut berjaya menghimpunkan lebih 5,000 tontonan penonton dan interaksi dalam ruangan sembang secara langsung di YouTube, serta komen di laman media sosial Enfiniti. Peminat filem tersebut berharap agar tayangan filem itu diteruskan, dengan juga penayangan rilis asal teater filem tersebut.


Terhad selama 10 hari sahaja, peminat filem epik Puteri Gunung Ledang akan dapat merasai semula pengalaman tontonan filem itu dalam format HD termasuk akses untuk menonton klip-klip eksklusif menerusi pelbagai peranti secara on-demand di ruang tamu rumah mereka dalam suasana selesa dan selamat.


Menurut Tiara Jacquelina, selaku Chief Dream Maker Enfiniti Group, Penerbit Eksekutif dan Pelakon Utama Puteri Gunung Ledang:

“Saya mengalirkan air mata sewaktu menonton semula filem tersebut setelah sekian lama. Tidak pernah terbayang di fikiran saya, setelah 16 tahun filem itu ditayangkan ia akan terus segar dan diingati penonton hari ini. Peminat tegar dunia perfileman, penuntut jurusan perfileman dan pengkritik filem sehingga hari ini merujuk filem epik itu sebagai filem Malaysia yang paling indah pembikinannya. 

Saya sangat bersyukur dan berterima kasih di atas dedikasi pengarah, Teong Hin dan seluruh pasukan tenaga kerja yang terlibat dalam pembikinan filem ini. Sewaktu saya menonton rakaman di belakang tabir, ia mengingatkan kembali betapa mencabarnya projek ini, tetapi setiap seorang yang terlibat telah mencurahkan bakti mereka yang tidak terhingga.

Terdapat ramai di kalangan peminat di media sosial saya yang berkongsi detik-detik nostalgia mereka. Ada di kalangan mereka yang menonton filem itu sewaktu di zaman percintaan dan hari ini telah pun berkahwin dan berkeluarga. Ada juga penonton di kalangan kanak-kanak, seusia anak saya, Dani yang kini lebih memahami konteks dan selok-belok peradaban Melayu menerusi filem ini sebagai seorang dewasa. Ada di antara penonton yang menonton bersama ibu-bapa mereka yang kini telah pun kembali menemui penciptaNya. Hari ini mereka mahu generasi kini anak-anak mereka agar turut merasai betapa magisnya pengalaman menonton filem Puteri Gunung Ledang.

Lebih menyedihkan, hari ini panggung-panggung wayang telah pun mula ditutup satu-persatu akibat pandemik Covid-19, dan ini merupakan peluang terakhir peminat filem Melayu amnya dan PGL khususnya untuk menontonnya semula dalam format digital yang telah melalui proses mastering. Saya berharap anda semua dapat menikmati nashkah cinta agung khazanah kita sebagai hadiah daripada kami untuk semua pencinta filem.

Menurut Saw Teong Hing, Pengarah Filem Puteri Gunung Ledang:

“PGL adalah titik permulaan di mana saya bermula. Ia bermula dengan semangat yang amat membara menjadi satu lonjakan peribadi yang cukup berharga buat saya. Saya berbangga dan bersyukur di atas gabungan kerjasama ini dan gembira apabila PGL terus diterima baik oleh masyarakat sehingga ke hari ini. Terima kasih Enfiniti dan seluruh tenaga produksi yang menjadikan filem ini satu realiti!”


Untuk rekod, filem Puteri Gunung Ledang telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Venice pada tahun 2004, filem pertama produksi dari Malaysia yang terpilih ke senarai pilihan rasmi tayangan. Ia juga merupakan filem pertama Malaysia yang telah dihantar untuk Anugerah Akademi (Oscars) tahun 2005 dengan tajuk A Legendary Love dan disenarai pendek antara 50 buah filem dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. Ia turut memenangi pelbagai anugerah di dalam dan di luar negara, termasuk Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Rekaan Seni Terbaik, dan Skor Muzik Terbaik di Festival Filem Malaysia 2004. Tiara Jacquelina yang juga merupakan penerbit dan pelakon utama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 50 dan Penerbit Terbaik di Asian Festival of First Films (2005).

KOMEN

Previous Post Next Post