Satu lagi filem tempatan bakal ditayangkan pada tahun ini, iaitu filem Kifarah arahan Alif Yazid. Dan kini, trailer pertama filem Kifarah telahpun diperlihatkan di saluran Youtube Kuman Pictures. Saksikan trailer filem Kifarah di bawah :


Kami berkesempatan menemubual pengarah filem Kifarah, saudara Alif Yazid berkenaan filem terbaharu arahannya itu. Baca temubual berkenaan di bawah :

1. Bilakah proses pembikinan filem ini bermula? Dan berapa lama tempoh yang diambil untuk disiapkan?

Proses pembikanan filem ini bermula dengan sebuah idea yang mudah atau simple sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dalam bulan Jun. Draft bagi cerita dan plot telah dilakukan pada bulan Ogos dan diperbaiki dalam setiap draft yang dilakukan. Tempoh yang diambil untuk penggambaran hanya satu malam di mana keseluruhan filem ini telah dirakam dengan satu take. Walau bagaimanapun, sesi rehearsal yang agak berat telah dilakukan sebelum itu beberapa kali bagi menyuaikan aksi, cerita dan plot mengambil masa yang sesuai mengikut durasi untuk menjadikan filem ini lebih organik dan natural.

2. Apakah cabaran yang dihadapi untuk mengarahkan filem Kifarah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan? Bagaimana aspek pematuhan SOP dipatuhi melibatkan para pelakon dan kru penggambaran?

Cabaran percaturan yang dihadapi untuk mengarahkan filem Kifarah ini bukan cabaran yang biasa seperti penggambaran filem-filem lain di mana penggambaran harus dilakukan secara terus dan hands-on. Ini kerana penggambaran filem ini dilakukan secara keseluruhan melalui atas talian. Walaubagaimanapun, waktu kami ingin memulakan penggambaran, salah seorang daripada pelakon kami telah hilang secara tiba-tiba dan tidak dapat dihubungi, hatta, saya terpaksa mencari seorang pelakon ganti yang lain dalam masa yang agak singkat dan telah menukar beberapa aksi, cerita dan plot untuk disesuaikan dengan pelakon ganti yang baharu pada waktu itu juga.

3. Kebanyakan filem yang dihasilkan mempunyai inspirasi tersendiri. Apakah inspirasi di sebalik terhasilnya filem Kifarah?

Secara terus, idea filem melalui atas talian bukan sesuatu idea yang baharu. Meskipun demikian, inspirasi dalam filem Kifarah ini adalah lebih kepada kandungan lokal. Dengan memasukkan elemen-elemen lokal seperti PKP, tidak dapat lepak di kedai mamak, serta dalam masyarakat mempunyai orang yang suka menghukum dan tidak dapat membezakan antara yang haq atau yang batil. Dengan kata yang mudah, filem ini terhasil dengan inspirasi rakyat Malaysia yang menderita kerana tidak dapat lepak bersama rakan-rakan kerana budaya lepak adalah satu budaya yang sangat 'Malaysia'.

4. Adakah langkah menayangkan filem Kifarah sewaktu pandemik COVID-19 masih belum reda ini merupakan langkah yang tepat. Ada kemungkinan yang ianya akan memberi kesan kepada jumlah kutipan nanti?

Filem ini akan ditayang secara percuma di YouTube Kuman Pictures mulai 24 September. Jadi sangat sesuai untuk dikeluarkan dalam musim pandemik sebegini. Malah filem terbitan Lensa Emas Productions ini pun dihasilkan untuk pertandingan #KumanPicturesFeatureChallenge di mana ia menjadi finalis (dengan tajuk asal PILIH). Kuman Pictures menjadi pengedar dan mencadangkan tajuk ditukar ke KIFARAH

5. Adakah filem Kifarah ini akan dihasilkan dalam bentuk stand-alone, ataupun secara siri?

Buat masa ini, tiada apa-apa perancangan untuk menjadikan filem ini secara bersiri tetapi kalau ada apa-apa peluang untuk menjadikan Kifarah ini secara bersiri, sudah tentu boleh dipertimbangkan untuk membentuk cerita-cerita atas talian yang lebih lokal, berbudaya muda dan perlukan percaturan dan aturan yang lebih baik.

Filem Kifarah diterbitkan oleh Lensa Emas Productions, dan diedarkan oleh Kuman Pictures. Filem Kifarah akan mula ditayangkan secara percuma di YouTube Kuman Pictures bermula 24 September 2020.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post