Filem The Matrix 4 Dan John Wick 4 Berkongsi Tarikh Tayangan Yang Sama?

Filem The Matrix 4 dan juga John Wick 4 telahpun disahkan penghasilannya sebelum ini, namun terdapat pengumuman baharu dari Warner Bros., di mana terdapat perubahan pada tarikh tayangan filem-filem terbaharu mereka.


Menurut laporan terbaharu dari Deadline, slot untuk tarikh tayangan filem aksi-hidup Akira (berdasarkan manga Jepun dengan tajuk yang sama) terpaksa ditunda, walaupun sepatutnya memulakan penggambaran pada tahun ini memandangkan pengarahnya, Taika Waititi, terlibat dengan penghasilan filem Thor: Love and Thunder terbitan Marvel Studios. Oleh itu, slot berkenaan akan diisi dengan filem lain dalam senarai filem terbitan Warner Bros.

BERKAITAN: John Wick: Chapter 3 - Parabellum Kini Ditayangkan, Tetapi Telah Ada Pengumuman Untuk Filem John Wick: Chapter 4!

Dengan penundaan ini, bermakna Waititi boleh terus memfokuskan waktu dan idea kreatifnya terhadap filem Thor: Love and Thunder tanpa 'diganggu' dengan jadual filem Akira. Slot tarikh 21 Mei 2021 yang sepatutnya diperuntukkan untuk filem Akira, kini diambil alih oleh filem The Matrix 4.

Menariknya, tarikh berkenaan adalah bertindih dengan satu lagi filem yang menampilkan Keanu Reeves sebagai watak utama, iaitu John Wick 4, yang dijangka akan memulakan penggambaran pada tahun hadapan!

BERKAITAN: Pelakon Filem Aquaman Akan Muncul Dalam Filem The Matrix 4?

Tiga filem The Matrix terdahulu telah berjaya mengumpulkan pengikutnya yang tersendiri, dan walaupun filem ketiga (dan terakhir) menerima kritikan yang bercampur-campur, penghasilan filem reboot The Matrix pula telah diumumkan pada tahun 2017, dan menimbulkan reaksi baharu peminatnya.

Untuk rekod, Reeves pernah menyatakan sebelum ini yang beliau tidak berminat untuk menyambung wataknya sebagai Neo, melainkan gandingan pengarah filem terdahulu kembali meneruskan kesinambungan projek filem berkenaan. Ogos lalu, akhirnya disahkan yang Reeves akan kembali sebagai Neo, memandangkan Lana Wachowski akan kembali sebagai penulis dan pengarah.

KOMEN ANDA

أحدث أقدم