Tarikh Tayangan Filem Kingsman 3 Ditetapkan Pada November 2019?



Filem kedua dalam siri Kingsman, iaitu Kingsman: The Golden Circle telah ditayangkan di pawagam pada tahun lepas, dan ianya tidaklah berjaya seperti filem pertama Kingsman. Tetapi itu tidak menghalang penghasilan filem ketiganya, di mana dikhabarkan Kingsman 3 telahpun ditetapkan untuk tayangan pada tahun depan. Yang menariknya, penggambaran filem tersebut masih belum dimulakan lagi!

Exhibitor Relations merupakan pihak pertama yang melaporkan berita berkenaan, dan disusuli oleh IGN yang mengesahkan Matthew Vaughn akan kembali untuk mengarahkan filem Kingsman 3. Walau bagaimanapun, 20th Century Fox masih belum mengumumkan kenyataan rasmi tentang perkara tersebut.

Filem pertama Kingsman adalah berdasarkan komik The Secret Service, oleh Mark Millar and Dave Gibbons. Millar dan Vaughn sebelum ini pernah bekerjasama dalam dua siri filem Kick-Ass sebelum penghasilan filem Kingsman.

Di akhir filem Kingsman: The Golden Circle, Eggsy (dilakonkan oleh Taron Egerton) berkahwin dengan Puteri Mahkota Sweden, Harry (Colin Firth) kembali menganggotai Kingsman, dan Tequila (Channing Tatum) juga menganggotai Kingsman. Tidak dapat dipastikan samada ketiga-tiga pelakon ini akan kembali untuk Kingsman 3, atau watak-watak lain seperti Ginger Ale (Halle Berry) dan Champ (Jeff Bridges) akan kembali dalam filem tersebut.

Filem Kingsman 3 telah ditetapkan untuk tayangan pada 8 November 2019.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post