Operasi Menyelamat Pasukan Bola Thailand Terperangkap Di Gua Bakal Difilemkan?


Sejak 23 Jun lalu, seluruh dunia menunggu kemaskini di laman sosial dengan debaran tentang operasi menyelamat pasukan bola sepak dari Thailand yang terperangkap dalam gua dibanjiri air akibat hujan lebat. Syukur apabila usaha menyelamatkan mereka menemui kejayaan, dengan mangsa terakhir berjaya diselamatkan semalam. Usaha pasukan tempatan dan antarabangsa itu berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa tiada yang mustahil dengan adanya kerjasama dari pelbagai pihak, baik agensi penyelamat, mahupun rakyat tempatan yang memberikan khidmat dobi, mengurut, malah menyediakan makanan bermasak halal untuk anggota penyelamat beragama Islam.


Hanya beberapa jam sahaja selepas operasi penyelamatan mereka semalam selesai, telah ada khabar angin mengatakan yang kejadian berkenaan akan difilemkan! Lebih mengejutkan, dikhabarkan projek filem berkenaan telahpun dirangka sebelum kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dari gua lagi, menurut laporan news.com.au. 

Penerbit berasal dari Amerika, Michael Scott dan Adam Smith telah menghabiskan beberapa hari berada di sekitar gua Tham Luang, tempat kejadian tersebut berlaku, dan mengumpulkan maklumat melalui temuramah yang dijalankan dengan penduduk setempat. 

Menurut Scott yang merupakan rakan kongsi dalam syarikat Pure Flix, visinya adalah untuk merakamkan kejadian itu dalam bentuk filem, dengan membariskan pelakon-pelakon "A-list" Holllywood untuk filem berkenaan. Ketika ditanya samada langkah tersebut akan mengundang kontroversi dan tidak sensitif terhadap privasi kanak-kanak tersebut, penerbit bersama, Adam Smith cuma menyatakan, "There's going to be other production companies coming in so we have to act pretty quickly." 

Pure Flix merupakan syarikat produksi berpangkalan di Scottsdale, Arizona, dan Los Angeles yang memfokuskan kepada filem-filem berasaskan kepercayaan agama, seperti "God's Not Dead" dan "Do You Believe?"


Scott telah berkahwin dengan wanita warga Thai, dan isterinya itu merupakan rakan sekelas kepada Saman Kunan, bekas anggota Thai Navy SEAL yang meninggal dunia pada Jumaat lepas ketika menghantar tangki oksigen kepada kanak-kanak yang terperangkap itu. Itu antara sebab mengapa dirinya terpanggil untuk menghasilkan filem berkenaan dan mendedikasikan filem tersebut untuk Saman Kunan yang kini dianggap sebagai wira negara.

12 orang kanak-kanak dari pasukan bola sepak Thailand, Wild Boars dan jurulatih mereka didapati hilang pada 23 Jun 2018 ketika menjelajah gua. Mereka ditemui 10 hari selepas itu, terperangkap jauh di dalam gua yang dipenuhi air banjir. Selepas penemuan itu, pihak berkuasa Thailand dibantu sukarelawan dari pelbagai negara berkampung di lokasi untuk mencari jalan membawa kesemua mereka dengan selamat. 


Sumber dari Cinema Online

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post