Dokumentari Andre The Giant Bakal Ditayangkan Di Saluran HBO

HBO Sports, WWE dan Bill Simmons Media Group telah memperlihatkan trailer dokumentari Andre the Giant, berlatarkan kisah hidup dan karier salah satu karakter paling dikenali dalam sejarah WWE. Dokumentari Andre the Giant ini bakal ditayangkan di saluran HBO pada 10 April 2018.




Pengarah dan penerbit dokumentari ini adalah Jason Hehir yang merupakan pemenang Anugerah Emmy. HBO Sports dan WWE buat pertama kalinya akan bekerjasama dalam dokumentari ini, dengan rakaman yang tak pernah dilihat sebelum ini, berkaitan dengan figura yang sinonim dengan WWF/WWE, tetapi kurang dikenali perjalanan hidupnya. Temubual akan dibuat dikalangan WWE Superstars, eksekutif sukan dan hiburan, atlit, media, ahli keluarga dan juga rakan-rakan.

André René Roussimoff dilahirkan pada 1946 di Grenoble, France. Di awal usia remaja lagi Andre telah menunjukkan tanda-tanda gigantism, dan meninggi sehingga lebih dari 7 kaki. Dia memulakan latihan di Paris ketika berusia 17 tahun dan kemudiannya dikenali dalam sirkit gusti di seluruh dunia, termasuklah Eropah, Australia dan Africa. Pada 1970, Roussimoff membuat penampilan di Jepun, meletakkannya di bawah perhatian Vince McMahon Sr., pengasas sirkit gusti yang kininya dikenali sebagai World Wrestling Entertainment.



Pada 1973, Andre menganggotai organisasi McMahon Sr., yang memberikannya gelaran Andre the Giant. Andre yang mempunyai suara unik, dengan kebolehan atletik, dan saiznya yang besar, membuatkan kehadirannya memang tidak dapat dilupakan.

Andre pernah 'bertempur' dengan nama-nama besar di WWE seperti Killer Khan, Big John Studd, King Kong Bundy, Jake “The Snake” Roberts, “Macho Man” Randy Savage dan The Ultimate Warrior. Pada 1987, Andre mencapai puncak kerjayanya apabila bertarung menentang Hulk Hogan di WrestleMania III, walaupun akhirnya dikalahkan oleh Hogan di hadapan 93,173 penonton.



Atas pencapaiannya dalam arena gusti, Andre merupakan orang pertama dimasukkan ke senarai WWE Hall of Fame pada 1993.

Pada 27 Januari 1993, Andre Roussimoff meninggal dunia akibat kegagalan jantung. Dan walaupun WWE mempunyai ramai barisan penggusti handalan selepas kematiannya, Andre the Giant masih diingati sebagai antara penggusti terhebat pernah dihasilkan WWE.

1 comment:

Powered by Blogger.