Sekali lagi berjaya mendapat tiket free daripada KLIPS, kali ini untuk tayangan filem Planes pula. Premiere screening filem Planes ini telahpun berlangsung di TGV Sunway Pyramid, pukul 9.15 malam tadi. Dapat 2 tiket percuma, jadi seperti biasa, aku bawa isteri untuk sama-sama menonton filem ini. Filem Planes yang kami tonton ini dalam Bahasa Melayu. Agak pelik juga sebenarnya menonton filem yang dialihbahasa sepenuhnya ni. Pertama kali ada pengalaman menonton filem sebegini.


Daripada pembikin filem Cars dan Cars 2, filem Planes ini mengisahkan watak Dusty Crophopper, sebuah kapalterbang penyembur baja yang mengimpikan peluang untuk berlumba dalam kejohanan Wings Across The World. Dipandang rendah pada awalnya, namun sikapnya yang tidak putus asa dan berkeazaman tinggi menjadikannya idola di seluruh dunia sepanjang perlumbaan tersebut.

Di sepanjang usaha Dusty untuk kekal dan menang dalam perlumbaan tersebut, dia dibantu oleh jurulatihnya, sebuah jet pejuang veteran bernama Skipper, rakan mekanik bernama Dottie (sebuah forklift) dan rakan baiknya Chug (sebuah lori pengisi minyak). Rasa terasing pada awalnya kerana dipandang rendah, ramai pihak mula membuka mata apabila dia membantu menyelamatkan pesawat daripada British bernama Bulldog daripada terhempas dan terkeluar daripada perlumbaan.

Dalam perlumbaan tersebut, Dusty kerap cuba disabotaj oleh si penjahat, Ripslinger dan konco-konconya, Ned dan Zed. Mujurlah ada rakan barunya, El Chupacabra yang sentiasa ada membantunya jika memerlukan.

Pada aku, animasi dan grafik yang dipaparkan dalam filem ini tak perlu dipertikaikan lagi, Seperti mana kecemerlangan grafik dalam filem Cars dan Cars 2, filem ini juga menonjolkan impak yang sama. Formula yang digunakan dalam filem ini juga cukup mudah. Konsep seorang yang dipandang rendah pada mulanya, akhirnya berjaya dengan usaha tanpa jemu, keyakinan diri yang tinggi dan bantuan daripada orang sekeliling. Bagus untuk bawa anak-anak bersantai menonton filem ini

Apakah kesudahan kepada pengembaraan Dusty dalam filem Planes ini? Jangan ketinggalan untuk menontonnya di pawagam bermula 15 Ogos 2013 ini.

Terima kasih KLIPS di atas peluang menonton premiere screening filem Planes ini.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post