Selepas beberapa kali berspekulasi, akhirnya pelakon suara untuk watak Shadow dalam filem Sonic the Hedgehog 3 akhirnya didedahkan.

Menurut laporan oleh The Hollywood Reporter, watak Shadow dalam filem Sonic the Hedgehog 3 nanti akan diberikan suara oleh tak lain dan tak bukan, bintang filem The Matrix dan John Wick iaitu Keanu Reeves! Ini bermakna Reeves akan bergandingan dengan barisan pelakon lain seperti Krysten Ritter, James Wolk, Sofia Pernas, Cristo Fernández, dan Jorma Taccone, yang mana masih belum disahkan watak-watak lakonan mereka. 

Untuk rekod, plot cerita filem Sonic the Hedgehog 3 masih belum diperincikan, namun dijangka yang ianya akan diinspirasikan dari Sonic Adventure 2 (2001) yang merupakan kemunculan pertama Shadow, dan Shadow the Hedgehog (2005).

Filem Sonic the Hedgehog 3 menampilkan Ben Schwartz (menyambung wataknya sebagai Sonic), manakala Colleen O’Shaughnessey dan Idris Elba menyambung watak mereka sebagai Tails dan Knuckles. Manakala pelakon lain yang kembali semula dalam filem ketiga ini adalah seperti James Marsden (sebagai Tom Wachowski), Tika Sumpter (sebagai Maddie Wachowski), Jim Carrey (sebagai Dr. Robotnik), Lee Majdoub (sebagai Ejen Stone), dan Tom Butler (sebagai Komander Walters).

Filem Sonic the Hedgehog 3 diarahkan oleh Jeff Fowler, yang turut mengarahkan dua filem terdahulu.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post