Kami telahpun menonton filem Shazam: Fury of the Gods (2023), dan ini adalah review filem Shazam: Fury of the Gods dari kami.

BERKAITAN: Review Filem Shazam! (2019) - Nafas Baru Untuk Filem Superhero DC

Filem Shazam: Fury of the Gods merupakan sambungan langsung kepada filem Shazam (2019) yang merupakan antara filem DCEU yang fun dan segar pada pandangan kami. Kali ini, ianya mengisahkan tentang Billy Batson dan adik beradik angkatnya yang bertukar menjadi superhero apabila menuturkan perkataan Shazam!, yang terpaksa berhadapan dengan ancaman baharu dari anak-anak perempuan dewa Atlas iaitu Hespera dan Kalypso (lakonan Helen Mirren dan Lucy Liu), yang ingin membalas dendam atas pengkhianatan yang dilakukan oleh bangsa manusia kepada dewa-dewa suatu masa dahulu. Berjayakah Billy dan keluarga angkatnya untuk sekali lagi berganding bahu mengalahkan ancaman baharu tersebut, sekaligus menyelamatkan dunia? Jangan lupa saksikan filem Shazam: Fury of the Gods yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Dalam filem ini, Billy Batson bakal mencapai umur 18 tahun dan bakal `keluar´ dari sistem keluarga pelihara di mana beliau tinggal, namun berada dalam dilema kerana masih sayangkan keluarga kecilnya itu dan belum bersedia meninggalkan mereka. Dalam masa yang sama, Billy kelihatan agak mengongkong adik-beradik peliharanya yang lain supaya sentiasa bersedia untuk `beraksi´ sekiranya keadaan memerlukan, sedangkan mereka sendiri mempunyai perancangan tersendiri untuk masa depan mereka. Jika filem Shazam (2019) bermain dengan elemen acceptance dan self-discovery, filem Shazam: Fury of the Gods pula menampilkan elemen sense of belonging dan holding on kepada apa yang dimiliki sekarang.

Zachary Levi menampilkan watak Billy Batson (versi dewasa)/ Shazam, dan sekali lagi membuktikan pilihannya untuk watak tersebut adalah sangat tepat. Beliau berjaya menampilkan identiti seorang kanak-kanak biasa yang terperangkap di dalam badan seorang lelaki dewasa yang punyai kuasa tanpa batas. Walaupun kelihatan sudah terbiasa dengan kuasa dimiliki, Billy masih kelihatan tidak yakin dengan kemampuannya, dan masih teragak-agak untuk menggunakan kuasanya ke tahap maksimum. Kali ini, kami tertarik dengan sut baharu Shazam yang merupakan peningkatan yang jauh lebih baik dari filem terdahulu. Malah, cahaya simbol petir di dada sut Shazam kali ini juga kelihatan lebih subtle dan tidak terlalu terang berbanding filem Shazam dahulu. 

Jika filem Shazam dahulu berjaya menampilkan pembaharuan untuk filem superhero DC, namun untuk filem Shazam: Fury of the Gods ini, kami rasakan ianya agak biasa. Tidaklah teruk, namun tiada apa yang special untuk filem ini. Selain dari CGI hebat, villain yang punyai kekuatan luar biasa, malah plot cerita di mana penjahat yang datang dari dunia luar dan cuba untuk terraforming dunia lain juga sudah acap kali ditampilkan dalam filem-filem lain sebelum ini. Watak penjahat juga kelihatan agak tipikal, walaupun sangat berkuasa. Anak-anak dewa Greek kot, takkanlah kuasanya biasa-biasa sahaja kan? Lakonan Helen Mirren (sebagai Hespera) dan Lucy Liu (sebagai Kalypso) ternyata amat berkesan dan majestic seperti seorang dewi sebenar, namun lakonan Rachel Zegler (sebagai seorang lagi anak dewa Atlas, iaitu Anthea) kelihatan biasa dan seolah-olah seorang manusia dan bukanlah dewa yang hidup ribuan tahun.

Filem Shazam: Fury of the Gods ini masih mengekalkan acuan elemen lawak seperti mana filem terdahulu. Beberapa rujukan kepada pop culture terkenal seperti watak Khaleesi dalam Game of Thrones, malahan terhadap filem terkenal seperti francais filem Fast & Furious turut disebutkan dalam filem ini. Inilah sebenarnya elemen yang membezakan Shazam berbanding superhero lainnya. Malah, ada satu watak cameo khas ahli Justice League yang turut tampil dalam filem ini, yang sudah tentunya mengaitkan Shazam dalam dunia DCEU lain (walaupun tidak kesampaian menyaksikan pertembungan Shazam dan Black Adam).

Usai menonton, jangan terus tinggalkan kerusi anda, kerana filem ini mempunyai satu mid credit scene, dan satu end credit scene yang lebih mengembangkan lagi dunia filem Shazam. Namun, dengan berakhirnya nanti DC Extended Universe (DCEU) dan bertukar ke DC Universe (DCU), belum dapat dipastikan adakah pelakon-pelakon dan perjalanan filem Shazam akan diteruskan nanti.

PENILAIAN: 3.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post