Seawal tahun 2005, Keanu Reeves telahpun tampil dalam filem dari panel komik DC, bertajuk Constantine, yang merupakan penampilan live-action pertama untuk watak John Constantine. Walau bagaimanapun, filem tersebut tidak mencapai hype yang diharapkan dan hanya mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak USD230 juta di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, filem tersebut masih mempunyai kelompok peminatnya tersendiri, yang masih mengharapkan sambungan terhadap filem tersebut. Kini, laporan terbaharu dari portal Deadline menyatakan yang Warner Bros. sedang membangunkan filem sambungan Constantine yang dikatakan bakal menampilkan semula Keanu Reeves sebagai John Constantine

Sebagai tambahan, Keanu turut dilaporkan akan bergandingan semula dengan pengarah filem Constantine sebelum ini, iaitu Francis Lawrence. Selain mengarahkan filem Constantine yang merupakan filem pertama arahannya, beliau turut mengarahkan filem I Am Legend, Water for Elephants, Red Sparrow, beberapa filem dalam francais filem The Hunger Games.

Watak Constantine atau John Constantine dicipta oleh Alan Moore, Stephen R. Bissette, Rick Veitch, dan John Totleben sebagai seorang ahli magik jalanan berbangsa British yang sinis. Pada awalnya, Constantine hanyalah watak sampingan dalam Swamp Thing, sebelum mempunyai siri komiknya sendiri. bertajuk Hellblazer. Pada tahun 2014, NBC menghasilkan siri TV Constantine yang bertahan hanya untuk satu musim sahaja, menampilkan Matt Ryan sebagai watak utama. Ryan kemudiannya menyambung watak sebagai Constantine dalam beberapa siri TV Arrowverse, seperti Legends of Tomorrow. Selain itu, dia turut meminjamkan suara untuk watak tersebut dalam filem-filem animasi DC.

Buat masa ini, Warner Bros. masih mengunci mulut dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi tentang penghasilan filem sekuel Constantine.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post