Kami telahpun menonton filem Libang Libu (2026) di Netflix, dan ini adalah review filem Libang Libu dari kami.


Filem Libang Libu berlatarbelakangkan sebuah kampung di Perak yang menjadi lokasi penggambaran filem, dan kisahnya berpusat pada Man Filem dan Along Alid, dua beradik yang mempunyai masalah serta sejarah mereka sendiri. Tetapi semakin cerita berjalan, semakin banyak pula kisah orang lain yang masuk mencelah. Akhirnya, kita sendiri mungkin tertanya-tanya siapa sebenarnya watak utama dalam filem ini.

Filem Libang Libu sebenarnya agak mudah untuk diikuti pada awalnya, tetapi lama-kelamaan ceritanya mula berserabut. Banyak karakter diperkenalkan, masing-masing mempunyai perangai dan masalah tersendiri, tetapi tidak semuanya mendapat ruang yang cukup untuk berkembang. Ada yang kelakar, ada yang menarik, tetapi ada juga yang terasa sekadar digunakan untuk menggerakkan cerita atau mencipta kekecohan. Disebabkan itu, beberapa bahagian filem terasa seperti kita sedang menonton beberapa cerita kecil yang dipaksa berkumpul menjadi satu cerita besar.

Dari sudut komedi, filem ini ada masanya menjadi dan ada masanya tidak. Kebanyakan kelakar datang daripada perangai watak, salah faham dan situasi kampung, bukannya lawak yang sengaja dipaksa. Tetapi tidak semua punchline mengena. Ada babak yang membuatkan kami tersenyum, tetapi ada juga yang berlalu begitu sahaja. Mungkin sebab itu pengalaman menontonnya di Netflix agak berbeza berbanding menonton filem ini di pawagam. Bila sesuatu babak mula terasa panjang atau tidak begitu menarik, kita sentiasa ada pilihan untuk pause, fast-forward atau terus berhenti menonton. Dan Libang Libu memang ada beberapa ketika yang menguji kesabaran untuk terus mengikuti ceritanya.

Namun begitu, filem ini bukan kosong dari segi isi. Di sebalik komedinya, ada isu tentang keluarga, hutang, perjudian, gosip, prejudis dan sikap masyarakat yang cepat membuat kesimpulan. Hubungan antara Man Filem dan Along Alid juga menjadi antara bahagian yang lebih serius dalam filem ini. Cuma mesej-mesej tersebut kadang-kadang terasa terlalu banyak untuk sebuah cerita yang pada asasnya mahu menjadi komedi. Ada ketika aku rasa filem ini lebih berkesan kalau ia berhenti menerangkan dan membiarkan penonton memahami sendiri apa yang sedang berlaku.

Satu perkara yang agak ketara ialah pengaruh komedi kampung ala filem Mamat Khalid. Latar Perak, karakter masyarakat setempat dan humor yang lahir daripada perangai manusia memang mudah membuatkan kita teringat kepada gaya tersebut. Tetapi Libang Libu tidak sepenuhnya berjaya mencapai tahap keaslian atau ketajaman yang membuatkan filem-filem seumpama itu mudah melekat dalam ingatan. Ia lebih terasa seperti sebuah komedi ensemble yang cuba menghidupkan suasana kampung melalui banyak karakter dalam satu masa.

Dari segi lakonan, Beto Kusyairy dan Amerul Affendi menjadi antara watak yang membantu mengikat cerita, walaupun perhatian kadang-kadang mudah beralih kepada karakter sampingan. Barisan pelakon yang ramai memang memberikan warna kepada filem ini, tetapi pada masa yang sama menjadi punca naratifnya semakin bercabang. Ada karakter yang kita mula suka, tetapi sebelum sempat kita benar-benar kenal mereka, cerita sudah bergerak kepada orang lain pula.

Secara keseluruhan, Libang Libu bukanlah filem yang buruk, tetapi ia juga bukan jenis filem yang membuatkan kita rasa rugi menontonnya. Ianya sesuai untuk mereka yang mahu sesuatu yang ringan, santai dan tidak kisah dengan cerita yang sedikit berserabut. Ada beberapa babak yang menghiburkan dan ada idea yang menarik di sebalik kekecohannya, tetapi penyampaian yang terlalu padat dengan watak dan subplot membuatkan kesan akhirnya tidak sekuat yang sepatutnya. Kehadiran watak Shakoor Rahman juga hampir sahaja menjadi tarikan filem ini, walaupun masa kemunculannya hanyalah seketika.

PENILAIAN: 3/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

أحدث أقدم