Kami baru berkesempatan menonton filem Fullmetal Alchemist: The Revenge of Scar (2022) di saluran penstriman Netflix, dan ini adalah review filem Fullmetal Alchemist: The Revenge of Scar dari kami.

Walaupun tidak mengikuti secara rapat manga dan anime Fullmetal Alchemist, namun siri ini merupakan salah satu anime kegemaran kami. Walaupun filem live-action Fullmetal Alchemist (2017) yang ditayangkan di Netflix sebelum ini tidaklah mencapai hype yang diharapkan, namun sudah tentunya kami tidak ketinggalan menonton sambungan filem tersebut, iaitu Fullmetal Alchemist: The Revenge of Scar yang kini sedang ditayangkan di Netflix.

Fullmetal Alchemist: The Revenge of Scar mengisahkan tentang seorang figura misteri yang hanya dikenali sebagai Scar, yang memburu dan menjejak ahli State Alchemist dan membunuh mereka seorang demi seorang atas alasan melakukan kesalahan dan dosa yang bertentangan dengan Tuhan. Siasatan oleh pasukan State Alchemist mendapati Scar merupakan bangsa Ishval, yang membalas dendam akibat kejadian perang Ishval yang memusnahkan negara tersebut dan melibatkan korban yang ramai di kalangan penduduk. Terperangkap di tengah-tengahnya perseteruan itu adalah Edward Elric atau terkenal dengan gelaran Fullmetal Alchemist (lakonan Ryôsuke Yamada) dan adiknya iaitu Alphonse Elric (lakonan Mackenyu), apatah lagi dengan ancaman Homunculi iaitu Envy dan Gluttony yang kembali mengancam mereka. Dapatkah para State Alchemist menghentikan tindakan Scar, dan dapatkan Edward dan Alphonse menghentikan ancaman Homunculi? Jangan lupa saksikan filem Fullmetal Alchemist: The Revenge of Scar yang kini boleh ditonton di saluran penstriman Netflix. 

Seperti filem terdahulu, filem Fullmetal Alchemist: The Revenge of Scar menggunakan banyak elemen kesan khas dan CGI dalam menampilkan dunia latar manga dan anime Fullmetal Alchemist. Tidaklah terlalu hebat, namun kesan khas dan CGI yang ditampilkan ternyata baik, dan membantu menjelmakan elemen dari manga dan anime ke layar TV. Namun begitu, ada masanya di mana kesan khas dan CGI yang ditampilkan nampak tidak kena dan out-of-place

Filem Fullmetal Alchemist (2017) telahpun memperkenalkan watak Scar sebagai antagonis utama untuk filem kedua ini, jadi penampilan Scar ternyata tidaklah mengejutkan. Walaupun kelihatan amat hebat dengan fizikal tegap dalam manga dan anime, nampaknya pemilihan pelakon untuk watak Scar dalam filem ini kelihatan tidak menonjolkan ciri tersebut. Ada kalanya Scar dilihat struggle untuk menonjolkan emosi, apatah lagi ketika adegan flashback semasa perang Ishval. Begitu juga ketika adegan di penghujung filem ini, apabila Scar menyedari kesilapan yang dilakukannya, di mana emosi yang ditampilkan tidak terasa kepada penonton.

Secara keseluruhannya, Fullmetal Alchemist: The Revenge of Scar berjaya menampilkan elemen dari manga dan anime, serta boleh dikatakan benar-benar true dengan material utama. Namun, dalam kebanyakan adegan, elemen emosi dan penghayatan watak pelakonnya seolah tak kesampaian, berkemungkinan disebabkan tidak cukup masa untuk mengembangkan elemen tersebut seperti mana dalam manga dan anime. Mungkin ianya nanti dapat disimpulkan dalam filem ketiga nanti, yang dikahabrkan akan ditayangkan pada September nanti. 

PENILAIAN: 3.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post