Netflix Akan Menghasilkan Siri Anime Pacific Rim?

Netflix baru sahaja mengumumkan yang mereka akan mengembangkan lagi penghasilan siri animasi mereka dengan penambahan beberapa siri baru, termasuk siri Pacific Rim dan Altered Carbon!



Menurut laporan Deadline, Netflix sedang membangunkan 5 siri anime baru. Antara yang tersenarai ialah Altered Carbon (berdasarkan novel karya Richard K. Morgan yang telahpun dijadikan siri Netflix yang akan memasuki musim kedua tayangan) dan akan diketuai oleh penulis Cowboy Bebop, Dai Sato.

Gonzo, studio di sebalik Hellsing dan Afro Samurai, sedang membangunkan siri Cagaster, berdasarkan manga dengan tajuk yang sama. Selain itu, Trese, siri alam ghaib berdasarkan dongeng Filipina, dan Yasuke, siri yang mengambil latar Jepun pasca-perang dan berdasarkan novel grafik kisah benar Yasuke, seorang samurai berketurunan Afrika, turut dalam perancangan Netflix.

Dan sudah tentu, pengumuman paling menarik adalah siri anime Pacific Rim oleh Craig Kyle (Thor: Ragnarok) dan Greg Johnson (X-Men: Evolution). Memandangkan filem Pacific Rim sendiri mengambil inspirasi dari manga dan anime Jepun yang sering memaparkan robot gergasi melawan raksasa, adalah sangat tepat apabila filem Pacific Rim ini dijadikan pula dalam bentuk anime. Namun begitu, setakat ini masih belum jelas samada anime ini merupakan kesinambungan dari versi filem ataupun tidak.

Nanti berita selanjutnya dari kami selepas mendapat perkembangan baru tentang projek Netflix ini.


KOMEN ANDA

أحدث أقدم