Aktor Dwayne ‘The Rock’ Johnson disahkan tidak akan tampil dalam francais kesembilan filem Fast and Furious.


Memetik portal berita Astro Awani, perkara itu disahkan sendiri pelakon berusia 45 tahun itu dalam temu bualnya bersama Rolling Stone. Menurut Johnson sekalipun tidak terlibat dalam Fast and Furious 9 ini tidak bermakna dia meninggalkan produksi filem aksi itu.

Sebaliknya dia kini menumpukan perhatian bagi menjayakan spin-off filem berkenaan bersama seorang lagi pelakon, Jason Statham. Filem yang belum lagi diberi judul rasmi itu akan hanya menumpukan kepada watak Luke Hobbs (Johnson) dan Deckard Shaw (Statham) tanpa watak asal filem berkenaan.

Konflik Johnson dengan keluarga Furious bermula ketika penggambaran filem kelapan francais itu, The Fate of the Furious. Ia berpunca tindakan bekas penggusti WWE itu mengkritik salah seorang pelakon lelaki utama filem itu sebagai tidak profesional. Meskipun tidak menyebut sebarang nama, ramai yang tahu kekecewaan Johnson itu ditujukan kepada Vin Diesel yang dikatakan sering lambat ke lokasi menyebabkan penggambaran tertangguh.

Bagaimanapun seorang lagi pelakon utama filem itu, Tyrese Gibson (Roman) mempertahankan Diesel yang dianggapnya seperti abang kandungnya sendiri. Menurut Gibson, Diesel selama ini telah berusaha keras mempertahankan filem berkenaan dan setiap wataknya sejak sekian lama.

Menambahkan kemarahan Gibson adalah apabila dia mendapat tahu Johnson menghantar kertas cadangan untuk menerbitkan filem spin-off filem itu yang mengakibatkan Fast and Furious 9 tertangguh.

Filem spin-off Fast and Furious akan membuka tayangan pada 26 Julai 2019 sementara Fast and Furious 9 dijadual ditayangkan pada 10 April 2020.

KOMEN ANDA

أحدث أقدم