Review Filem Shazam! (2019) - Nafas Baru Untuk Filem Superhero DC

Selepas menemui beberapa siri kegagalan, dengan filem seperti Batman v Superman: Dawn of Justice dan Justice League yang menerima kritikan hebat, kini muncul filem superhero terbaru dari muka komik DC Comics, iaitu Shazam!


Mula dikenali dengan nama Captain Marvel sekitar tahun 1940-an, perebutan tanda dagangan menyebabkan nama watak berkenaan ditukar kepada Shazam! seperti yang diketahui hari ini. Dengan menyebutkan perkataan Shazam!, kanak-kanak bernama Billy Batson bertukar menjadi superhero bernama Shazam.

Filem Shazam dimulakan dengan pengenalan watak penjahat utama, iaitu Thaddeus Sivana dan apa yang mendorongnya menjadi penjahat. Walaupun terdapat ura-ura yang menyatakan watak Black Adam yang merupakan musuh utama Shazam dan akan dilakonkan oleh Dwayne Johnson akan muncul dalam filem ini, nampaknya DC mengambil pendekatan selamat dengan mengenepikan watak tersebut untuk filem solonya nanti. Hairan, kerana pengumuman pemilihan Johnson dibuat lebih awal lagi iaitu pada tahun 2014 lalu.


Seterusnya penonton dibawa ke kehidupan Billy Batson, seorang anak yatim yang mempunyai misi peribadi untuk mengesan ibu kandungnya. Billy hidup berpindah randah dan bertukar keluarga pelihara, sehinggalah akhirnya ditempatkan dalam keluarga pelihara Vazquez yang telahpun mempunyai beberapa orang anak pelihara seperti Mary Bromfield, Pedro Peña, Eugene Choi, Darla Dudley dan Freddy Freeman yang menjadi rakan sebiliknya.

Billy secara tak sengaja dibawa secara magik ke dunia magikal Rock of Eternity, di mana dia bertemu dengan ahli sihir bernama Shazam yang terdesak mahu memberikan kuasanya kepada mereka yang layak untuk menentang Sivana yang telah memperolehi kuasa luar biasa. Dengan hanya menyebut perkataan Shazam!, Billy bertukar menjadi lelaki dewasa yang mempunyai kuasa superhero Shazam, iaitu singkatan kepada : kebijaksanaan (S)olomon, kekuatan (H)ercules, stamina (A)tlas, kuasa (Z)eus, keberanian (A)chilles, dan kelajuan (M)ercury. Walaupun bertubuh dewasa, minda dan kelakukan Shazam masih lagi dalam jiwa kanak-kanak, menjadikan suasana bertukar lucu.


Elemen komedi muncul apabila dilihat Billy cuba memikirkan apakah kuasa luar biasanya. Dengan bantuan Freeman (yang merupakan seorang geek - ditunjukkan Freeman sangat arif dengan beberapa comic reference dan menyimpan koleksi Batarang dan peluru yang telah digunakan untuk menembak Superman), Shazam bereksperimen dengan kuasa yang biasanya ada pada seorang superhero, seperti kekebalan, keupayaan untuk terbang, kebolehan membaca minda dan lain-lain lagi.


Jika sebelum ini filem DC Comics dikenali sebagai filem bernada serius dan bertema gelap, filem Shazam merupakan suatu kelainan. Dengan memberi penekanan kepada elemen kekeluargaan dan kesucian hati, filem Shazam merupakan filem kedua DC Comics yang kami percaya akan menerima komen yang baik, seperti mana filem Wonder Woman dan Aquaman.

Filem Shazam tampil dengan 2 credit scenes, tradisi yang dimulakan oleh Marvel Studios melalui filem Iron Man (2008). Satunya adalah merujuk kepada watak Mister Mind, dan satu lagi berkait dengan watak Aquaman. Jangan lupa tunggu selepas habis tayangan untuk melihat sendiri credit scenes berkenaan.

Kami berikan filem Shazam! ini, 4/5 bintang. Filem ini bagus, cuma ada beberapa adegan yang kami rasakan agak meleret dan tidak perlu ditunjukkan terlalu lama. 

Terdapat kejutan sebelum pengakhiran filem ini. Nak tau apa? Saksikanlah sendiri, takkan semua kami nak spoil, ye tak?

Filem Shazam! kini sedang ditayangkan di pawagam berhampiran anda.

KOMEN ANDA

أحدث أقدم