Musim Terakhir Siri Game of Thrones Bakal Disiarkan Pada April 2019

Siri aksi fantasi yang mempunyai puluhan juta peminat di seluruh dunia, Game of Thrones akan mula menyiarkan musim kelapan dan terakhirnya pada April 2019.


Rangkaian HBO mengumumkan khabar yang dinanti-nanti itu bersama-sama trailer terbaru Game of Thrones musim 8 pada Selasa baru-baru ini, menurut laporan Astro Awani.

Trailer Game of Thrones musim 8 memaparkan adegan dari musim-musim sebelum ini sewaktu perang dahsyat terjadi dalam usaha menguasai kerajaan Westeros. HBO bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh khusus untuk tayangan perdana Game of Thrones musim 8 dan musim terakhirnya, yang akan menemui penonton hanya untuk enam episod sahaja.

Game of Thrones, yang pernah memenangi beberapa anugerah Emmy, merupakan kandungan paling berharga bagi rangkaian HBO dengan kira-kira 30 juta penonton di Amerika Syarikat sahaja, dan berjuta-juta lagi penggemar di seluruh dunia.

Drama siri Game of Thrones berdasarkan novel George R.R. Martin, yang berjudul A Song of Ice and Fire.

Sekarang ini, pihak pengeluar dan rangkaian penyiar membelanjakan kos yang tinggi untuk menjalankan promosi fizikal dan juga di media sosial untuk Game of Thrones musim 8  .

HBO juga sedang dalam proses mencari pengarah dan pelakon bagi musim prekuel, yang akan memulakan penggambaran pada tahun depan.

Rangkaian penyiaran itu mengumumkan pada Jun lalu bahawa pihaknya sudah memesan episod permulaan dan akan meneruskan penggambaran siri penuh jika semuanya lancar.

Prekuel yang masih belum mempunyai judul itu akan mengambil latar belakang susur masa ribuan tahun sebelum bermulanya Game of Thrones.

KOMEN ANDA

أحدث أقدم